NTT Data lancar sistem kabel dasar laut MIST sambungkan Malaysia, India dan Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NTT Data lancar sistem kabel dasar laut MIST sambungkan Malaysia, India dan Singapura

Gambar Michael Worden/Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 17 Mac - Peneraju global dalam perniagaan digital dan perkhidmatan teknologi, NTT Data mengumumkan pelancaran sistem kabel dasar laut Malaysia, India, Singapore Transit (MIST) sepanjang 8,100 kilometer, yang menyediakan sambungan terus ke dan dari India.

 

MIST akan menghubungkan ketiga-tiga negara itu dengan kampus pusat data canggih milik NTT Data di India, yang apabila beroperasi sepenuhnya akan menampung lebih 500 MW beban IT, sekali gus memperluas kapasiti semasa syarikat sebanyak 1,400 MW kepada lebih 2,200 MW di seluruh dunia.

 

Ia yang mempunyai kapasiti lebih 200 terabit sesaat (Tbps) dan dijangka siap menjelang Jun 2025, akan menghubungkan secara langsung Malaysia, Singapura, dan Thailand dengan India melalui rangkaian kabel dasar laut. 

 

Ini menandakan pencapaian penting sebagai sistem kabel pertama dari NTT Data yang menyediakan sambungan terus ke dan dari India, sekali gus memberikan Singapura akses tanpa gangguan kepada satu daripada ekonomi digital yang paling pesat berkembang di dunia. 

 

MIST telah disambungkan ke stesen pendaratan NTT Data di Mumbai pada Februari 2023 dan Chennai pada Mei 2023.

 

Sebagai tambahan, NTT Data kini membuka pusat data terbesar di India, yang mampu menampung lebih 500 MW tenaga apabila beroperasi sepenuhnya. 

 

Sebanyak hampir dua pertiga daripada pusat datanya di India beroperasi menggunakan tenaga boleh diperbaharui, dengan komitmen mahu menggunakan 100% tenaga itu menjelang 2030.

 

Kampus tersebut dilengkapi dengan kemudahan canggih termasuk terowong bawah tanah untuk sambungan yang lancar serta teknologi penyejukan, yang menekankan keselamatan, inovasi dan kelestarian.

 

Sebagai penyedia pusat data ketiga terbesar di dunia dan terbesar di India, NTT Data sedang meningkatkan kapasiti globalnya dari lebih 1,500 MW kepada lebih 2,000 MW. 

 

Dengan pertumbuhan pesat di India, di mana ia memegang bahagian pasaran utama, NTT Data bercadang untuk menambah 400 MW lagi dalam tahun-tahun akan datang. 

 

Ia juga adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan pusat data yang  mengendalikan lebih 200 MW beban kecerdasan buatan (AI) di seluruh dunia.

 

Selain itu, NTT Data pada masa sama turut mengumumkan naik taraf Pusat Inovasinya di Bengaluru, India, yang akan memberi tumpuan kepada projek-projek AI, model digital dan pengkomputeran kuantum. 

 

Dengan ini, syarikat kini mempunyai 11 pusat inovasi global di 11 negara yang akan memperkukuh pengambilan bakat terpilih untuk mengurus projek bagi syarikat-syarikat global, dengan fokus kepada rumusan teknologi yang dipacu AI, terutamanya dengan AI agentik.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NTT, Akira Shimada berkata, India adalah pusat utama strategi global syarikat, didorong oleh perkembangan ekonomi dan digital yang pesat. 

 

"Kini, India adalah satu daripada 10 pasaran utama penyumbang pendapatan kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, NTT melabur sebanyak RM262.41 bilion secara global dalam tempoh lima tahun dari FY2023 hingga FY2027 untuk kawasan pertumbuhan, termasuk pusat data dan AI. - DagangNews.com