KUALA LUMPUR 8 Julai - Syarikat perladangan yang berpangkalan di Sabah, NPC Resources Bhd akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia berkuat kuasa 11 Julai 2025.
“NPC akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia Securities Bhd berkuat kuasa 9 pagi, Jumaat, 11 Julai, selaras dengan Perenggan 16.07(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama,” kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Terdahulu pada Februari lalu, pengasas bersama NPC, Datuk Loo Pang Kee telah melancarkan usaha untuk menyahsenarai syarikat tersebut menerusi penswastaan.
Pang Kee bersama kenderaan pelaburannya, Jubilant Ventures Sdn Bhd, telah mencadangkan pengurangan modal terpilih serta bayaran balik modal untuk membeli baki saham NPC Resources pada harga RM2.82 sesaham.
Beliau yang merupakan Pengarah Urusan kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif NPC, menguasai pegangan sebanyak 56.56%, atau 66 juta saham dalam syarikat tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemegang saham utama NPC Resources berbincang kemungkinan menyahsenaraikan pada RM2.82 sesaham
Langkah penswastaan itu melibatkan baki pegangan 43.44%, atau 50.69 juta saham yang tidak dimilikinya.
Blok saham tersebut dianggarkan bernilai kira-kira RM142.96 juta.
Saham NPC telah digantung daripada dagangan sejak 17 Jun 2025 bagi memudahkan pelaksanaan pengurangan modal terpilih kumpulan itu.
Kaunter tersebut kali terakhir diniagakan pada harga RM2.79 sesaham, dengan permodalan pasaran sebanyak RM334.80 juta.
Saham syarikat menunjukkan peningkatan sejak hujung Disember 2024, mencecah paras tertinggi RM2.90 sesaham pada 8 Januari 2025, iaitu sehari sebelum Pang Kee mengumumkan hasrat untuk menswastakan kumpulan itu.- DagangNews.com








