Nova Pharma kaut untung bersih RM5.9 juta bagi FY25 didorong pertumbuhan sektor bioteknologi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nova Pharma kaut untung bersih RM5.9 juta bagi FY25 didorong pertumbuhan sektor bioteknologi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Feb - Nova Pharma Solutions Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM5.9 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, melonjak 15.63% berbanding pada FY24.


Bagaimanapun, bagi tempoh enam bulan terakhir tahun tersebut, keuntungan bersih syarikat menyusut didapati sedikit kepada RM3.02 juta daripada RM3.26 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. 


Kemerosotan keuntungan sepanjang waktu berkenaan disebabkan oleh margin kasar yang lebih rendah daripada pengiktirafan hasil projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).


"Situasi ini mempunyai kos berkaitan yang lebih tinggi serta margin pula adalah rendah, selain peningkatan dalam perbelanjaan operasi," jelas Nova Pharma dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Hasil kumpulan bagi 2025 namun melonjak 57.23% kepada RM19.82 juta berbanding RM12.60 juta pada 2024, dengan tempoh enam bulan berakhir Disember 2025 pula, hasil naik 66.48% kepada RM12.46 juta.


Pertumbuhan ini dipacu oleh prestasi kukuh dalam pasaran Malaysia menjana RM18.73 juta daripada jumlah keseluruhan, disokong kemenangan projek baharu serta kadar penyelesaian kerja yang tinggi.


Sektor bioteknologi jelas Nova Pharma, kekal sebagai penyumbang terbesar kepada syarikat dengan hasil sebanyak RM16.20 juta, diikuti oleh sektor farmaseutikal dengan kira-kira RM3.40 juta.


Kumpulan turut memaklumkan mengenai tawaran pengambilalihan mandatori oleh Southern Score Builder Berhad pada harga 37 sen sesaham, dan sudah memegang 90% jumlah saham terbitan syarikat tersebut.


"Justeru, susulan pegangan saham yang melebihi 90%, Southern Score akan mengambil langkah untuk menarik balik status penyenaraian Nova Pharma daripada Pasaran LEAP Bursa Securities," jelasnya.


Bagi tahun kewangan 2025, kumpulan itu mengisytiharkan dan membayar dividen satu peringkat interim sebanyak 8 sen sesaham pada Disember 2025, dan kini mempunyai buku tempahan bernilai RM54.12 juta.


Perkembangan positif tersebut tambahnya, mencerminkan trend permintaan secara berterusan terhadap perkhidmatan kumpulan berkenaan bagi tempoh yang akan datang. - DagangNews.com