Northern Solar pertama kali raih hasil melepasi RM100 juta, untung bersih naik 33.9% kepada RM15.3 juta pada FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Northern Solar pertama kali raih hasil melepasi RM100 juta, untung bersih naik 33.9% kepada RM15.3 juta pada FY2026

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 25 Mei - Northern Solar Holdings Berhad mencatat prestasi kewangan lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) apabila hasil melepasi paras RM100 juta buat kali pertama, disokong pertumbuhan dalam segmen kejuruteraan tenaga solar.

 

Kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM113.0 juta, meningkat 33.1% berbanding RM84.9 juta pada tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) turut naik 33.9% kepada RM15.3 juta.

 

Dalam kenyataan kumpulan itu berkata, segmen utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan dengan hasil meningkat 31.5% kepada RM109.3 juta.

 

Selain itu, Northern Solar turut mencatat peningkatan sumbangan daripada pendapatan berulang melalui penjanaan tenaga elektrik dan pendapatan hijau berkaitan, sejajar strategi kumpulan untuk mengurangkan kebergantungan kepada projek EPCC semata-mata.

 

Bagi suku keempat (4QFY26), hasil kekal stabil pada RM20.7 juta, namun PAT melonjak kepada RM3.1 juta berbanding RM0.5 juta pada tempoh sama tahun lalu, disokong ketiadaan kos sekali sahaja berkaitan penyenaraian sebelum ini.

 

Secara suku ke suku, hasil lebih rendah berbanding suku sebelumnya berikutan peralihan kitaran projek, apabila projek lama hampir siap manakala projek baharu masih di peringkat awal pelaksanaan.

 

Setakat 31 Mac 2026, kumpulan mengekalkan kedudukan kewangan kukuh dengan tunai dan baki bank RM45.3 juta, manakala jumlah pinjaman hanya RM10.3 juta (tidak termasuk liabiliti pajakan), sekali gus mengekalkan tahap gearing yang rendah.

 

Dalam tempoh sama, Northern Solar turut memperoleh surat anugerah bernilai RM119.38 juta bagi kerja EPCC projek loji tenaga solar berskala utiliti, yang meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi tahun kewangan 2027.

 

Pengarah Urusan Northern Solar Holdings Berhad, Lew Shoong Kai berkata, FY2026 merupakan tahun penting apabila kumpulan berjaya melepasi pencapaian hasil RM100 juta serta mencatat pertumbuhan keuntungan yang kukuh.

 

“Penyertaan kami dalam projek solar berskala utiliti ini merupakan pencapaian penting. Kami kekal berdisiplin dalam pemilihan projek, pengurusan tunai dan perlindungan margin,” katanya.

 

Beliau berkata, Northern Solar kini bersedia untuk merebut peluang dalam segmen tenaga boleh diperbaharui yang terus berkembang, selaras agenda peralihan tenaga negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

“Kami akan terus memperkukuh buku tempahan sedia ada serta membida projek baharu bagi memastikan pertumbuhan mampan pada tahun kewangan akan datang,” katanya. - DagangNews.com