KUALA LUMPUR 28 Feb - Syarikat telekomunikasi multinasional dari Finland, Nokia, akan menaik taraf kemudahan pusat data penyedia telekomunikasi terkemuka Malaysia, Maxis, bagi meningkatkan sambungan dan keupayaan skala dengan suis pusat data dan platform automasi berasaskan acara (EDA) Nokia.
Menurut Nokia, projek tersebut akan menyokong pertumbuhan perniagaan Maxis dengan menyediakan seni bina pusat data yang boleh diskala, selamat dan cekap.
"Memodenkan teknologi sambungan pusat data Maxis akan membantu syarikat itu memudahkan operasi rangkaian, menyelesaikan masalah dengan lebih pantas dan mengautomasikan beban kerja, semuanya dalam satu kemudahan yang kukuh dan selamat," kata Nokia dalam satu kenyataan.
Selain itu, Nokia juga akan menyediakan suis pusat data 7220 Interconnect Router (IXR) dan teknologi EDA yang canggih di beberapa pusat data Maxis.
Projek naik taraf tersebut membolehkan Maxis menyediakan sumber kemudahan tanpa kelewatan, mengurangkan kerumitan dan memastikan aplikasi yang berjalan dalam rangkaian dapat diskala dengan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, lanjutan kerjasama jangka panjangnya dengan Nokia akan mendorong sambungan generasi akan datang dalam menghadapi keperluan pelanggan yang semakin meningkat.
"Ini mencerminkan kemunculan Malaysia sebagai hab pusat data dan penyedia kemudahan awan skala besar, sejajar dengan penerimaan lebih besar terhadap kemudahan awan yang dikuasakan kecerdasan buatan," jelasnya.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan akan meningkatkan keupayaan rangkaian syarikat, memastikan ia terus menyediakan rumusan terbaik yang dikuasakan oleh sambungan yang pantas, selamat dan boleh dipercayai.
Ketua Kemudahan Rangkaian Asia Tenggara Selatan di Nokia, Ming Kin Ngiam berkata, rangkaian pusat data adalah kemudahan penting yang boleh dipercayai, serta mudah untuk dikendalikan.
"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Maxis untuk memodenkan kemudahan pusat data mereka dengan suis pusat data canggih dan teknologi EDA kami untuk memberikan Maxis seni bina masa depan yang boleh diskala, tahan lasak dan mudah dipasang," ujarnya.
Jelas beliau, kerjasama itu adalah bukti kekuatan teknologi kedua-dua pihak dan komitmen mereka untuk menyokong pertumbuhan pelanggan di pasaran pusat data yang berkembang pesat di Asia Tenggara.
Nokia turut membantu pembina awan di seluruh dunia membina rangkaian pusat data moden yang sangat boleh dipercayai, selamat dan mudah dikendalikan.
Teknologi EDA Nokia memastikan masa tindak balas yang lebih pantas, mengurangkan usaha manual, meminimumkan kesilapan, mengurangkan penggunaan sumber pengiraan dan mengendalikan operasi rangkaian pada skala dengan prestasi yang konsisten.
Dengan menyelesaikan masalah secara proaktif, ia meningkatkan kebolehpercayaan dan mengurangkan kos operasi.
Dikenali sebagai komponen utama rumusan Data Center Fabric Nokia, Nokia 7220 IXR menyediakan platform berkapasiti tinggi dengan konfigurasi tetap yang menawarkan skala, fleksibiliti dan kesederhanaan operasi yang tiada tandingan untuk persekitaran pusat data dan awan.
Platform generasi seterusnya yang boleh diskala itu, direka untuk memenuhi permintaan sambungan dan ketumpatan yang tinggi bagi syarikat berasaskan awan, penyedia perkhidmatan dan perusahaan. - DagangNews.com








