KUALA LUMPUR 25 Mac - Ninja Van Malaysia dan platform penjagaan kesihatan digital, Esyms, memperluaskan perkhidmatan penghantaran ubat rantaian sejuk pertama di Malaysia, Allmeds, membolehkan penghantaran ubat sensitif suhu terus kepada pesakit di Lembah Klang dengan menggunakan Ninja Cold, perkhidmatan logistik rantaian sejuk daripada Ninja Van.
Sebelum ini, logistik rantaian sejuk tertumpu kepada hospital dan pembekalan institusi, tetapi penghantaran langsung kepada pesakit masih terhad.
Melalui kerjasama itu, penghantaran ubat seperti insulin dan suntikan khas kini boleh dihantar terus ke rumah pesakit, tanpa mereka perlu ke hospital.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ninja Van Malaysia, Lin Zheng berkata, permintaan terhadap logistik rantaian sejuk semakin meningkat di Malaysia dan ASEAN, dengan pasaran dianggarkan bernilai RM2.5 bilion pada 2023.
"Bagaimanapun, cabaran utamanya adalah kemudahan rantaian sejuk peringkat akhir dan pemantauan masa nyata.
"Ninja Cold memastikan penghantaran ubat dengan kawalan suhu canggih, penjejakan masa nyata dan pensijilan pengendalian peranti perubatan untuk memastikan ubat kekal selamat dan dapat dihantar dengan pantas," katanya dalam satu kenyataan.
Allmeds, yang dilancarkan semasa pandemik Covid-19, terus berkembang untuk meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan dalam penghantaran ubat rantaian sejuk.
Kejayaan Allmeds bergantung kepada penyepaduan sistem yang lancar, koordinasi logistik yang baik dan aliran kerja yang teratur bagi memudahkan ahli farmasi hospital.
Menerusi Ninja Cold, Esyms boleh memanfaatkan rumusan logistik yang mengutamakan kawalan suhu, kecekapan operasi dan kelestarian untuk memastikan keutuhan ubat sepanjang penghantaran.
Produk ubat perlu disimpan pada suhu antara 2°C hingga 8°C untuk memastikan ia kekal selamat dan Ninja Cold menjamin pematuhan suhu sepanjang proses penghantaran.
Selain itu, Ninja Van Malaysia juga diperakui dengan Amalan Pengedaran Baik Peranti Perubatan (GDPMD), memastikan pengendalian dan pengangkutan produk perubatan yang selamat.
CEO Esyms, Lam Wee Yong pula berkata, pihaknya komited untuk membina ekosistem penjagaan kesihatan yang saling berhubung dengan menghubungkan hospital, klinik dan farmasi kepada pesakit secara mudah.
"Allmeds menyokong kesinambungan penjagaan pesakit dengan memberi kemudahan kepada penyedia kesihatan dan pesakit.
"Kerjasama dengan Ninja Van Malaysia mengukuhkan keupayaan rantaian bekalan Esyms, memperluaskan capaian dan meningkatkan kecekapan. Ini membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan penghantaran ubat kepada lebih ramai pesakit yang memerlukan," ujarnya. - DagangNews.com








