NexG catat hasil stabil RM348 juta, operasi MyKad dan pasport terus menyokong pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NexG catat hasil stabil RM348 juta, operasi MyKad dan pasport terus menyokong pertumbuhan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei – NexG Bhd, penyedia utama buku pasport dan kad pengenalan Malaysia (MyKad), mencatat keputusan kewangan bercampur bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) apabila prestasi terjejas oleh kerugian penilaian semula pelaburan, walaupun operasi teras kekal stabil.

 

Syarikat merekodkan kerugian bersih sebanyak RM84.24 juta pada FY2026 berbanding keuntungan RM115.55 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Perubahan ketara ini dipengaruhi oleh kerugian besar daripada penilaian semula pelaburan lain berjumlah RM111.94 juta, yang bersifat bukan tunai dan tidak melibatkan operasi teras.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata hasil kumpulan turut menyusut 6.77% kepada RM348.16 juta daripada RM373.45 juta, dipengaruhi oleh permintaan lebih rendah bagi kad pintar, pasport dan perkhidmatan lain.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2026 (4QFY2026), NexG mencatat kerugian bersih RM37.69 juta berbanding keuntungan RM43.81 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, namun hasil suku kekal stabil pada RM103.32 juta berbanding RM103.78 juta.

 

Kerugian suku tersebut juga berpunca daripada pelarasan nilai pelaburan, bukannya daripada operasi teras syarikat yang terus menunjukkan kestabilan dalam segmen berkaitan dokumen keselamatan negara.

 

NexG mula melaporkan kesan kerugian pelaburan ini sejak keputusan suku ketiga FY2026 (3QFY2026), apabila jumlah kerugian pelaburan lain dilaporkan mencecah RM145.6 juta pada ketika itu, sekali gus mencetuskan perhatian pasaran terhadap kedudukan portfolio pelaburan kumpulan.

 

Susulan itu, lembaga pengarah melancarkan siasatan dalaman bagi menilai punca kerugian tersebut dan melaksanakan semakan semula tadbir urus ke atas pelaburan kumpulan.

 

Walaupun berdepan cabaran kewangan, NexG kekal optimis terhadap prospek jangka sederhana ekonomi Malaysia yang disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pelaburan infrastruktur dan aktiviti berterusan dalam sektor utama.

 

Kumpulan turut menjangkakan pemangkin pertumbuhan baharu daripada pelaksanaan program nasional termasuk program MyKad dan pasport baharu, yang dijangka menyokong permintaan terhadap operasi teras serta meningkatkan keterlihatan pendapatan masa depan.

 

Sebagai tambahan, NexG mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.01 sen sesaham sebagai tanda komitmen terhadap pemegang saham walaupun dalam persekitaran prestasi kewangan yang mencabar. - DagangNews.com