KUALA LUMPUR 25 Mac - Nestcon Bhd memperoleh kontrak bernilai RM100 juta untuk kerja-kerja penggalian tanah di kawasan seluas 97.93 hektar di Hulu Selangor.
Nestcon berkata, projek itu sebahagian daripada fasa pertama pembangunan dalam kawasan seluas 323.74 hektar Beringin High-Tech Auto Valley, yang turut menempatkan Taman Perindustrian Automotif Pintar Chery seluas 800.93 hektar di Lembah Beringin.
"Pembangunan ini bertujuan untuk mewujudkan sebuah bandar automotif bersepadu, yang akan menarik bakat, pelaburan dan daya cipta, serta meletakkan Hulu Selangor sebagai pusat serantau pembuatan automotif bertaraf dunia dengan teknologi terkini," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Nestcon berkata, kontrak tersebut akan bermula pada 3 April 2025 dan dijangka siap pada 2 Julai 2026.
Jelasnya, kontrak berkenaan dijangka memberi kesan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan nisbah hutang kepada ekuiti sepanjang tempoh kerja dilaksanakan.
Syarikat juga tidak menjangka sebarang risiko luar biasa selain daripada risiko operasi biasa yang berkaitan dengan surat anugerah dan kerja-kerja tersebut. - DagangNews.com








