NEP Holdings dibubarkan selepas mahkamah tolak rayuan, VS Industry menang tuntutan penindasan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NEP Holdings dibubarkan selepas mahkamah tolak rayuan, VS Industry menang tuntutan penindasan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 14 Feb - Pengeluar sistem penapisan air, NEP Holdings (M) Bhd, dibubarkan selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan perintah pembubaran.

 

VS Industry Bhd yang memiliki 20% pegangan saham dalam NEP berkata, susulan itu, penyelia pembubaran NEP telah memperoleh sijil lantikan sebagai penyelia likuidasi daripada jabatan insolvensi.

 

"Penyelia pembubaran juga telah mengambil alih pengurusan serta operasi perniagaan NEP," kata VS Industry dalam satu kenyataan.

 

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi memihak kepada VS Industry dalam tuntutan penindasan pemegang saham minoriti terhadap NEP Holdings dan tiga pengarah syarikat tersebut. 

 

Keputusan itu disertakan dengan perintah untuk membubarkan NEP.

 

VS Industry membeli pegangan dalam NEP pada tahun 2016 dengan nilai RM60 juta.

 

VS Industry menambah, mahkamah memutuskan bahawa pihaknya berjaya membuktikan bahawa urusan NEP dan kuasa pengarahnya dijalankan dengan cara yang menindas atau mengabaikan kepentingan VS Industry sebagai pemegang saham.

 

Pertikaian antara VS Industry dan NEP berpunca daripada kegagalan unit tersebut untuk mengadakan mesyuarat lembaga pengarah atau mesyuarat agung tahunan sejak 2021, menyembunyikan penyata kewangan yang diaudit dan tidak mengagihkan dividen yang dipersetujui meskipun terdapat keuntungan yang dilaporkan.

 

"Tindakan ini menafikan hak-hak pemegang saham berkanun VS Industry, mendorongnya atas nasihat undang-undang untuk memfailkan tuntutan penindasan pada Julai 2023, meminta pembubaran NEP dan pelantikan penyelia pembubaran persendirian untuk menyiasat urusan syarikat tersebut," jelasnya.

 

Pengarah yang dinamakan dalam tuntutan berkenaan ialah Lim Chang Huat, Lim Chee Kon dan Chow Chun Pooi @ Chow Chan Leong. 

 

Berdasarkan pemfailan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, NEP dimiliki 78.61% oleh Chang Huat.

 

Menurut VS Industry, NEP dikenali dengan jenama Diamond bagi produk sistem penapisan air. 

 

Produk lainnya turut merangkumi mesin kopi dan kapsul di bawah jenama Arristo. - DagangNews.com