NCT Alliance beli 80% pegangan Semanja Murni, rancang projek industri RM1.5 bilion di Kuala Langat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NCT Alliance beli 80% pegangan Semanja Murni, rancang projek industri RM1.5 bilion di Kuala Langat

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei – NCT Alliance Bhd memperluaskan bank tanahnya di Kuala Langat, Selangor menerusi pengambilalihan pegangan majoriti dalam Semanja Murni Sdn Bhd (SMSB) bagi membangunkan projek perindustrian dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.5 bilion.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NCT berkata anak syarikat milik penuhnya, NCT World Sdn Bhd (NCTW) akan memperoleh pegangan 80% dalam SMSB pada harga RM53 juta.

 

SMSB merupakan pemilik tanah seluas 71.5 hektar (176.7 ekar) di Kuala Langat yang terletak bersebelahan projek sedia ada syarikat, NCT Smart Industrial Park (NSIP).

 

Menurut NCT, tanah tersebut akan disepadukan ke dalam pembangunan NSIP bagi membentuk ekosistem perindustrian berskala besar yang dirancang secara menyeluruh.

 

“Langkah ini sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh kedudukan dalam segmen pembangunan hartanah industri yang semakin berkembang di Selangor.

 

“Bagi melaksanakan urus niaga tersebut, NCTW telah memeterai perjanjian langganan saham bersyarat serta perjanjian pemegang saham dengan pemegang saham sedia ada SMSB, See Cherng Jye dan Datuk Seri Sim See Hua.

 

“Di bawah perjanjian itu, NCTW akan melanggan lapan saham biasa baharu dalam SMSB pada harga RM53 juta,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Pengambilalihan tersebut akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, bergantung kepada keperluan pembiayaan semasa syarikat.

 

Urus niaga itu dijangka diselesaikan dalam tempoh sembilan bulan selepas memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Selepas pelaksanaan selesai, pegangan pemegang saham sedia ada dalam SMSB akan dicairkan kepada 20% yang memberikan kawalan majoriti kepada NCT.

 

SMSB yang berpangkalan di Pudu, Kuala Lumpur merupakan syarikat pegangan pelaburan dan merekodkan kerugian bersih RM9.07 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.

 

Bagaimanapun, syarikat itu memiliki tunai berjumlah RM93.72 juta dan tidak mempunyai sebarang pinjaman setakat tempoh kewangan tersebut.

 

NCT berkata, sebahagian pembiayaan melalui pinjaman boleh mendedahkan kumpulan kepada risiko turun naik kadar faedah serta peningkatan kos pembiayaan.

 

Namun katanya, syarikat akan mengurus tahap hutang, kos faedah dan aliran tunai secara aktif bagi memastikan kedudukan kewangan kumpulan kekal stabil. - DagangNews.com