MyIPO saran pinda Akta Hak Cipta perkenalkan rangka kerja AI dan sekat web cetak rompak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyIPO saran pinda Akta Hak Cipta perkenalkan rangka kerja AI dan sekat web cetak rompak

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 10 Julai – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) mencadangkan pindaan menyeluruh kepada Akta Hak Cipta 1987 bagi memastikan perlindungan lebih kukuh kepada pencipta kandungan.

 

Langkah tegas itu perlu bagi menyokong industri kreatif negara berdepan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa kawalan serta peningkatan aktiviti laman web cetak rompak secara dalam talian.

 

Tambahnya, pelbagai syor dipertimbangkan bagi memperkukuh kerangka hak cipta selaras perkembangan era digital, termasuk hak jualan semula artis (ARR) serta mekanisme penyelesaian pertikaian kes.

 

"Antara cadangan utama ialah rangka kerja perundangan bagi penggunaan karya berhak cipta oleh sistem AI yang menumpukan ketelusan, keadilan dan pampasan kepada pemilik karya," kata MyIPO.

 

Menurut dokumen konsultasi awam yang diterbitkan agensi berkenaan, golongan pencipta, penerbit dan organisasi media mahukan penggunaan karya mereka dilaksanakan dengan kebenaran terlebih dahulu.

 

Mereka ujarnya berhak menerima bayaran yang adil serta dimaklumkan secara jelas bagaimana karya berkenaan digunakan bagi tujuan pembangunan AI, selain usaha membendung cetak rompak digital.

 

MyIPO_DagangNews2026

 

MyIPO turut mencadangkan pelaksanaan perintah injunksi yang membolehkan mahkamah menyekat laman web menerusi satu perintah tanpa perlu difailkan tindakan sama bagi setiap laman dikenal pasti.

 

"Pindaan ini juga melibatkan penambahbaikan fungsi Tribunal Hak Cipta, yang ketika ini hanya boleh mendengar pertikaian royalti jika badan pelesenan dan ahlinya memberikan persetujuan," tambahnya.

 

Di bawah cadangan baharu, mana-mana pihak boleh merujuk pertikaian kepada tribunal tanpa perlu persetujuan pihak satu lagi, manakala semua kes selesai dalam tempoh 60 hari selepas prosiding.

 

Selain itu, MyIPO menyarankan pewujudan rangka kerja undang-undang bagi bahan berhak cipta seperti buku, akhbar, majalah, gambar dan filem yang pemiliknya tidak dapat dikenal pasti atau dikesan.

 

Usaha tersebut ujarnya, bagi membolehkan karya itu dimanfaatkan bagi pendidikan, penyelidikan, pemeliharaan warisan dan kepentingan awam selepas usaha pencarian sewajarnya sudah dilaksanakan.

 

"Langkah ini membolehkan perpustakaan serta institusi pengajian tinggi mendigitalkan bahan, sekali gus memperkayakan khazanah budaya serta menyokong pembangunan ekonomi kreatif negara," jelasnya.

 

Pindaan yang dicadangkan juga memperjelaskan perbezaan antara perlindungan hak cipta bagi karya kreatif dengan perlindungan reka bentuk perindustrian, serta memperkukuh penguatkuasaan. - DagangNews.com