KUALA LUMPUR 30 April - MyEG Services Bhd melancarkan Malaysia Blockchain Infrastructure (MBI), sebuah platform yang dibangunkan dengan kerjasama MIMOS Technology Solutions Sdn Bhd bagi memupuk inovasi rantaian blok dan memudahkan penyepaduan aset digital dalam pelbagai industri di Malaysia.
MyEG dan MIMOS berkata, MBI yang telah beroperasi sepenuhnya adalah sebuah platform yang neutral dan dipercayai, direka untuk menjadi tulang belakang bagi perkhidmatan berasaskan rantaian blok di sektor awam dan swasta.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS, Dr Saat Shukri Embong berkata, MBI mampu meningkatkan daya saing, meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam penerimaan dan pembangunan rantaian blok, serta berpotensi menarik pelaburan dan bakat berkemahiran tinggi.
"Lebih penting, ia menunjukkan keterangkuman digital yang membolehkan semua rakyat Malaysia mengakses teknologi rantaian blok tanpa kira tahap kepakaran," katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, MBI dibina atas platform Zetrix milik MyEG dan disepadukan dengan rantaian blok awam seperti Ethereum dan Solana bagi membolehkan keserasian merentas platform melalui satu antara muka.
Beliau berkata, akses yang disatukan itu, memudahkan pengguna tanpa perlu membuka banyak platform, sekali gus melancarkan pembangunan aplikasi rantaian blok terutamanya dalam sektor bekalan, identiti, aset digital dan kewangan digital.
"MBI mengubah cara kita guna teknologi rantaian blok. Ia menyediakan akses tunggal merentasi platform, memudahkan transaksi antara rantaian, meningkatkan kecairan dan mempermudah akses ke aplikasi tidak berpusat," jelas Dr Saat.
Antara pengguna awal platform berkenaan termasuk Cokeeps, iTrace dan HeiTech Padu Bhd yang sedang menggunakan rumusan rantaian blok untuk menjejak rantaian bekalan, ID digital dan penjagaan aset.
Sebagai contoh, MBI mampu memudahkan pendaftaran dan pengesahan merentas sempadan yang rumit bagi sistem identiti digital nasional, MyDigital ID yang dibangunkan oleh MIMOS.
Inisiatif berkenaan juga boleh mengurangkan jurang digital, membolehkan lebih ramai orang turut serta dalam inovasi rantaian blok tanpa mengira latar belakang teknikal, serta meningkatkan ketelusan, kepercayaan dan kecekapan dalam transaksi digital.
Rantaian blok Zetrix milik MyEG akan menjadi asas utama untuk MBI, memudahkan penggunaan pengenalan berasaskan rantaian blok, kelayakan yang boleh disahkan dan elemen Web3 lain.
Sistem tersebut juga direka untuk menyokong keserasian dengan ekosistem rantaian blok China, membolehkan penyelarasan rantaian blok merentas sempadan. - DagangNews.com








