KUALA LUMPUR 28 Mei - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mempelawa orang ramai untuk memberi maklum balas terhadap permohonan lanjutan selama lima tahun bagi pengecualian sekatan berkaitan perjanjian perkongsian kapal (VSA) dalam perkhidmatan perkapalan berjadual.
Perundingan awam secara dalam talian itu akan berlangsung selama 30 hari bermula Selasa ini sehingga 25 Jun 2025, iaitu sebelum pengecualian sedia ada selama tiga tahun tamat pada 6 Julai nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, penyertaan orang ramai penting bagi membantu penilaian pihak suruhanjaya.
"Kami menggalakkan semua pihak yang berkepentingan untuk menghantar maklum balas bertulis mengenai perkara ini.
"Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.mycc.gov.my atau e-mel ke [email protected]," katanya dalam satu kenyataan.
MyCC turut mengeluarkan laporan analisis awal berhubung permohonan pengecualian berkenaan.
Dalam laporan tersebut, MyCC menyatakan, VSA mampu meningkatkan daya saing dalam perkhidmatan pengangkutan laut.
"Walaupun VSA membolehkan kerjasama antara pengendali perkapalan, ia masih mengekalkan persaingan dalam pasaran dan tidak mewujudkan monopoli," jelasnya.
Menurut MyCC, pengendali perkapalan yang terlibat dalam VSA masih bersaing secara bebas dalam aspek seperti harga, jadual perkhidmatan, pemasaran dan khidmat pelanggan.
MyCC menambah, perjanjian VSA dapat membantu penjimatan kos dan meningkatkan kecekapan operasi.
Selain itu, rangka kerja kawal selia sedia ada memastikan perjanjian itu tidak digunakan untuk tujuan persaingan tidak sihat.
Analisis menunjukkan, VSA boleh memudahkan syarikat kecil masuk ke pasaran dan mengurangkan kos untuk berkembang.
Ini membantu meningkatkan kecekapan dan persaingan dalam pengangkutan laut, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna dan ekonomi negara.
Pengecualian sekatan VSA hanya untuk perkhidmatan pengangkutan laut oleh syarikat kapal sahaja.
Ia tidak meliputi pengangkutan barang di darat seperti perkhidmatan logistik, penghantar barang, pengendali depoh, lori, kereta api, gudang luar pelabuhan atau pergudangan, sama ada berkaitan dengan syarikat kapal atau tidak.
VSA merujuk kepada perjanjian antara pengendali perkapalan berjadual untuk bekerjasama dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan laut.
Dalam perjanjian itu, mereka hanya boleh berbincang dan bersetuju tentang perkara berkaitan perkhidmatan kapal laut, seperti menyelaraskan jadual kapal dan bertukar atau menyewa ruang kapal supaya kapasiti digunakan dengan baik.
Pengecualian sekatan tersebut membolehkan MyCC menilai semua perjanjian sekali gus untuk melihat kesan persaingan dan manfaatnya, tanpa memerlukan setiap syarikat membuat permohonan berasingan. - DagangNews.com








