Mutiara Perlis, Bina Darulaman meterai MoU bangunkan kemudahan maritim mampan di Sanglang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mutiara Perlis, Bina Darulaman meterai MoU bangunkan kemudahan maritim mampan di Sanglang

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb — Pemilik dan pemaju Perlis Sanglang Port (PSP), Mutiara Perlis Sdn Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Bina Darulaman Berhad (BDB) bagi membina kemudahan maritim strategik serta mampan di wilayah utara Semenanjung.
 

Menurut kenyataan bersama dua syarikat tersebut, langkah terbaharu berkenaan bakal menjadi tonggak yang penting ke arah usaha bersama untuk meningkatkan lagi kecekapan logistik dan memperkukuhkan hubungan ekonomi di kawasan Pelabuhan Sanglang.
 

MoU itu ditandatangani Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman serta Pengarah Urusan Kumpulan Mutiara Perlis, Wan Ahmad Zaheed Wan Mohamad, dengan disaksikan Pengerusi BDB, Che Had Dhali dan Pengerusi Eksekutif Mutiara Perlis, Datuk Shabaruddin Ibrahim.
 

"Pemeteraian tersebut memfokuskan kepada pembinaan kemudahan utama di PSP antaranya Pangkalan Bekalan Langkawi untuk perkhidmatan kapal roro antara Langkawi dan tanah besar serta Terminal Kargo Pukal untuk produk kering dan cecair," jelasnya.
 

Turut dibangunkan ialah Pangkalan Bekalan Langkasuka untuk menyokong operasi medan minyak dan gas di rantau berkenaan dengan kesemua tiga kemudahan baharu ini akan dapat meningkatkan perdagangan serantau serta menambah baik kecekapan logistik.
 

Ia sekali gus dijangka mampu menyokong perkembangan kawasan perindustrian di dua negeri yang berjiran berkenaan, termasuk Kawasan Perindustrian Lembah Chuping di Perlis serta Kedah Rubber City dan Taman Sains dan Teknologi Kedah di Kedah.
 

PSP ujar kenyataan itu, terletak di pantai persisiran Sanglang yang dilindungi oleh Pulau Langkawi secara semula jadi dengan posisi strategik menghubungkan Langkawi dengan keupayaan operasi sepanjang tahun tanpa memerlukan usaha pengorekan laut.
 

"Ini akan meningkatkan tahap kredibiliti Langkawi sebagai destinasi pulau pelancongan utama di Malaysia serta penganjuran banyak acara yang bertaraf antarabangsa seperti Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA) setiap dua tahun," tambahnya.
 

Terminal Kargo Pukal akan memainkan peranan penting dalam mempermudahkan pengendalian dan pengedaran barangan kering serta cecair malahan akan menyokong industri seperti pengeksportan mineral selain meningkatkan kecekapan operasi perkhidmatan kapal roro.
 

Melalui pendekatan integrasi, logistik untuk komoditi pukal dapat diselaraskan dengan lebih efisien bahkan kemudahan bersama ini akan dipromosikan sebagai pangkalan berpotensi untuk perkhidmatan medan minyak dan gas Langkasuka dan Laut Andaman.
 

Ia juga akan menjadi pangkalan operasi untuk agensi keselamatan Malaysia dengan segala aset marin serta memperkukuhkan industri perikanan tempatan melalui kerjasama strategik yang mampu menandakan lonjakan signifikan dalam landskap maritim di utara Malaysia.
 

"PSP ialah projek Pelan Pembangunan Strategik Wilayah Ekonomi Koridor Utara 2021-2025 serta mencerminkan komitmen dua syarikat itu bagi membangunkan kemudahan bersama untuk pengguna di Kedah dan Perlis tanpa halangan air surut dan cuaca," katanya.
 

Dengan pengalaman BDB dalam pembangunan hartanah, kejuruteraan dan pembinaan serta kepakaran teknikal Mutiara Perlis, projek PSP diharapkan menjadi mercu tanda besar yang turut memberikan limpahan ekonomi kepada wilayah utara tanah air. - DagangNews.com