Musim perayaan dikhuatiri tekan prestasi kewangan suku pertama hospital swasta, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Musim perayaan dikhuatiri tekan prestasi kewangan suku pertama hospital swasta, kata CIMB Securities

Gambar hiasan
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 April – Prestasi kewangan hospital swasta dijangka menyusut secara suku ke suku (QoQ) pada suku pertama 2026 berikutan kesan musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.


Bagaimanapun menurut CIMB Securities, asas pertumbuhan sektor penjagaan kesihatan di negara ini adalah kekal teguh, di sebalik pelbagai cabaran luaran yang perlu dihadapi pemain berkenaan.


Firma penyelidikan itu merujuk jumlah pesakit luar dikhuatiri merosot tahun ke tahun (YoY) susulan Aidilfitri yang jatuh pada 21 Mac 2026, dan mengurangkan kunjungan pesakit dalam tempoh tersebut.


"Rawatan pesakit luar yang bersifat tidak mendesak secara kelazimannya ditangguhkan ketika musim perayaan, menyebabkan tekanan sementara ke atas pendapatan hospital," katanya dalam nota analisis.


CIMB Securities menjangka hasil operator swasta masih mencatat pertumbuhan tahunan positif, dipacu peningkatan kes berintensiti tinggi yang melibatkan prosedur lebih kompleks dan bernilai besar.


Dari sudut risiko pula jelas firma tersebut, ketegangan geopolitik di rantau Timur Tengah dilihat berpotensi meningkatkan kos pembinaan infrastruktur dan input, tetapi impaknya dijangka terhad.


Situasi berkenaan jelasnya, memandangkan kebanyakan pengendali memberi tumpuan lebih kepada usaha pengembangan bilangan katil daripada jumlah sedia ada berbanding projek baharu berskala mahal.

 

penjagaan kesihatan_DagangNews
Gambar hiasan


"Pemain utama seperti KPJ Healthcare Berhad dan IHH Healthcare Berhad kekal komited terhadap pelan pengembangan, dengan sasaran lebih 2,200 katil dalam jangka sederhana," ujar CIMB Securities.


Sehubungan itu, ia mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor penjagaan kesihatan, disokong faktor struktur seperti peningkatan penyakit tidak berjangkit, populasi menua dan kesedaran awam.


Selain itu, ia menamakan KPJ Healthcare sebagai pilihan utama, didorong model perniagaan domestik serta kedudukan kewangan kukuh dengan nisbah hutang bersih yang lebih rendah berbanding pesaing.


Di samping itu kata CIMB Securities, potensi kenaikan premium insurans perubatan selepas tamat tempoh had sementara oleh Bank Negara Malaysia menjelang akhir 2026 dilihat menyokong pertumbuhan.


"Pada masa sama, rantaian bekalan masih kekal stabil tanpa gangguan besar, walaupun kos logistik meningkat, dengan pengendali hospital dilaporkan berjaya mengekalkan operasi,'" jelasnya lagi.


Usaha tersebut tambah firma penyelidikan berkenaan, dapat dilihat melalui beberapa langkah pengurusan inventori dan kepelbagaian sumber pembekal. - DagangNews.com