KUALA LUMPUR 13 Mac — Muhibbah Engineering (M) Bhd dijangka menyaksikan aliran projek yang lebih kukuh berikutan kenaikan harga minyak global, sekali gus memberi momentum positif kepada beberapa segmen utama perniagaannya termasuk pembinaan, kren dan limbungan kapal.
Menurut CGS International (CGSI), pengurusan syarikat optimis terhadap prospek aliran projek pada masa hadapan memandangkan persekitaran harga minyak yang lebih tinggi lazimnya mendorong peningkatan aktiviti dalam sektor minyak dan gas.
Sehingga kini, kata firma penyelidikan itu Muhibbah mempunyai buku tender bernilai RM3.8 bilion, merangkumi RM2.2 bilion bagi segmen pembinaan dan RM1.6 bilion bagi segmen kren.
Pada masa sama, ujatnya, syarikat itu turut sedang membina dua kapal tunda jenis anchor handling di limbungan kapalnya.
"Dalam segmen pembinaan, Muhibbah mempunyai kepakaran khusus dalam kejuruteraan marin serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi platform minyak dan gas luar pesisir untuk Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
"Kontrak sebegini lazimnya mempunyai peruntukan yang membolehkan syarikat memindahkan peningkatan kos akibat tekanan inflasi kepada pelanggan," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Selain itu, tambah CGSI, anak syarikat milik penuh Muhibbah, CiTech, yang membekalkan unit pemulihan haba buangan (WHRU), turut menyaksikan peningkatan aktiviti tender dengan buku tender bernilai RM1.1 bilion setakat Disember 2025, mewakili kira-kira 50% daripada buku tender pembinaan Muhibbah.
Antara pelanggan utama CiTech termasuk PETRONAS Carigali, Siemens dan Keppel.
Nilai tersirat negatif bagi segmen pembinaan
CGSI berpandangan pasaran kini menilai segmen pembinaan Muhibbah secara terlalu konservatif.
Ini berikutan nilai pasaran semasa syarikat secara tersirat memberikan nilai negatif sekitar RM72 juta kepada perniagaan pembinaan, selepas mengambil kira pegangan Muhibbah dalam beberapa pelaburan utama termasuk 64% dalam Favelle Favco Bhd, 31% dalam Master-Pack Group Bhd dan 21% dalam operasi lapangan terbang di Kemboja.
Pada masa ini, buku pesanan pembinaan Muhibbah telah meningkat kepada RM863 juta, disokong oleh kontrak EPCC bernilai antara RM700 juta hingga RM850 juta daripada PETRONAS yang diperoleh pada Disember 2025, iaitu kemenangan kontrak utama pertama sejak November 2023.
Jika digabungkan dengan segmen kren, jumlah buku pesanan kumpulan kini dianggarkan sekitar RM1.5 bilion, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan yang lebih baik.
Muhibbah juga memiliki rekod kukuh dalam sektor pembinaan luar pesisir selepas memperoleh lesen daripada PETRONAS pada 2013 bagi pembinaan kemudahan luar pesisir serta fabrikasi utama, selain telah melaksanakan pelbagai projek sebelum ini.
Di samping itu, kedudukan kewangan syarikat dilihat semakin kukuh dengan gearan bersih hanya 2.5% setakat Disember 2025, berbanding sekitar 12% hingga 28% bagi tempoh FY22 hingga FY24, disokong oleh pengutipan bayaran yang lebih baik.
Dalam jangka sederhana, tahap tunai yang tinggi di Societe Concessionaire de l’Aeroport (SCA) — di mana Muhibbah mempunyai pegangan efektif sebanyak 21% — juga berpotensi menyokong pembayaran dividen yang lebih tinggi.
SCA dilaporkan menerima pampasan keseluruhan sekitar AS$203 juta pada 2024 hingga 2025 susulan penamatan awal konsesi lapangan terbang.
Saranan ‘Tambah’, harga sasaran RM0.81
Sehubungan itu CGSI mengekalkan saranan “Tambah” terhadap saham Muhibbah dengan harga sasaran berasaskan kaedah jumlah bahagian (SOP) sebanyak RM0.81.
Menurutnya, Muhibbah dilihat sebagai proksi menarik kepada pemulihan ketibaan pelancong di Kemboja melalui model perjanjian perkhidmatan pengurusan (MSA) bagi operasi lapangan terbang di negara tersebut, selain potensi peningkatan aliran projek daripada Petronas.
Bagi tempoh FY26 hingga FY28, hasil dividen Muhibbah diunjurkan berada pada paras menarik sekitar 5% hingga 7%.
Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk prestasi pendapatan yang lebih rendah daripada jangkaan serta peningkatan kos bahan mentah, manakala pemangkin kepada penilaian semula saham termasuk prestasi kewangan yang lebih kukuh dan pertumbuhan ketibaan pelancong di Kemboja. - DagangNews.com








