KUALA LUMPUR 29 April – Muhibbah Engineering (M) Berhad mencatatkan keuntungan bersih boleh diagihkan sebanyak RM80.331 juta bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Pencapaian ini didorong oleh pemuktamadan tuntutan bagi beberapa projek yang sudah disiapkan sepanjang tahun kewangan tersebut, sekali gus membantu meningkatkan margin keuntungan kumpulan.
Menurut syarikat kejuruteraan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia, jumlah keuntungan bersih berkenaan naik 0.42% berbanding kira-kira RM79.996 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
"Sementara itu, jumlah keuntungan sebelum cukai (PBT) pula mencatatkan pertambahan kepada sebanyak RM177.86 juta daripada kira-kira RM173.31 juta direkodkan pada FY24," jelas Muhibbah Engineering.
Kumpulan berkenaan ujarnya, turut mencatatkan perolehan disatukan yang lebih rendah iaitu hanya berjumlah RM1.8 bilion berbanding sebanyak RM2.4 bilion dilapor pada tahun kewangan sebelum ini.
Lembaga Pengarah mengesyorkan dividen pertama dan akhir dikecualikan cukai sebanyak 3.5 sen sesaham, tertakluk kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan datang.
Dalam pada itu, bahagian pembinaan dan kejuruteraan serta infrastruktur menyumbang peningkatan keuntungan hasil daripada pemuktamadan tuntutan perubahan bagi beberapa projek dilaksanakan.
Bagaimanapun jelas Muhibbah Engineering, bahagian konsesi pula didapati mencatatkan sumbangan yang lebih rendah susulan penyerahan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh di Kemboja.
"Di samping itu, situasi tersebut disebabkan peralihan kepada penyediaan perkhidmatan operasi dan pengurusan untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Techo yang baharu di Kemboja," tambahnya lagi.
Bagi bahagian kren katanya, perolehan terjejas akibat pasaran kren besar yang lembap dan sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia yang perlahan, dengan perolehan merosot 12.65% kepada RM787 juta.
Muhibbah Engineering namun kekal berhati-hati dengan buku tempahan terkumpul sedia ada yang kukuh, dengan setakat 31 Mac 2026, bahagian pembinaan dan kejuruteraan mencatatkan sejumlah RM853 juta.
Kumpulan juga berjaya meraih kontrak utama bernilai antara RM700 juta hingga RM850 juta daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd pada Januari 2026 dan dijangka memberi sumbangan positif. - DagangNews.com








