MTT Shipping teruskan rancangan IPO di Bursa Malaysia, sasar RM888.95 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTT Shipping teruskan rancangan IPO di Bursa Malaysia, sasar RM888.95 juta

Gambar/MTT Shipping Sdn Bhd

KUALA LUMPUR 17 Mac - Syarikat kapal kontena MTT Shipping Sdn Bhd, meneruskan semula rancangan untuk penawaran awam permulaan (IPO) di Bursa Malaysia, yang boleh mengumpul sebanyak RM888.95 juta.

 

Syarikat yang mula beroperasi pada 2010 itu, dikatakan sedang bekerjasama dengan penasihat untuk menyenaraikan sahamnya di Bursa Malaysia pada akhir tahun ini atau pada 2026, dengan sasaran penilaian sebanyak RM4 bilion.

 

"Perbincangan sedang dijalankan. Saiz serta masa pelaksanaan tawaran tersebut mungkin berubah," demikian menurut sumber yang enggan dikenali seperti laporan The Edge.

 

 

MTT bagaimanapun enggan mengulas.

 

MTT mempertimbangkan IPO sejak 2019, apabila sumber yang mengetahui perkara tersebut menyatakan, syarikat mempertimbangkan IPO sejumlah RM250 juta. 

 

Namun, ia tidak diteruskan kerana pandemik Covid-19 melanda dan indeks utama negara jatuh ke paras terendah sejak 2009.

 

Menurut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg, Malaysia merupakan satu daripada negara yang mencatatkan kejayaan bagi urusan saham di Asia Tenggara tahun lalu, dengan IPO mengumpul RM7.11 bilion, hasil tertinggi sejak 2017.

 

Beberapa tawaran terbesar yang dijangka di Malaysia tahun ini termasuk MMC Port Holdings Sdn Bhd dan Sunway Healthcare Group. - DagangNews.com