MTT Shipping & Logistics meterai perjanjian taja jamin bersama CIMB Investment, Affin Hwang menjelang penyenaraian di Papan Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTT Shipping & Logistics meterai perjanjian taja jamin bersama CIMB Investment, Affin Hwang menjelang penyenaraian di Papan Utama

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac – MTT Shipping and Logistics Berhad (MTTSL), syarikat pengendali kapal kontena memeterai perjanjian taja jamin dengan CIMB Investment Bank Berhad dan Affin Hwang Investment Bank Berhad menjelang penyenaraiannya di Papan Utama Bursa Malaysia pada suku kedua 2026. 

 

Langkah ini dijangka menjadi titik penting dalam pengembangan perniagaan syarikat yang sudah kukuh di pasaran domestik.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) MTTSL akan menawarkan sejumlah 633.5 juta saham baharu. Daripada jumlah ini, 571 juta saham diperuntukkan untuk pelabur institusi, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan dan Pelaburan Malaysia.

 

Sebanyak 62.5 juta saham lagi disediakan untuk tawaran runcit. Saham ini terbuka kepada pengarah, pekerja, penyumbang penting kepada kejayaan syarikat, serta orang awam melalui sistem undian. Semua hasil daripada jualan saham baharu ini akan terus masuk ke akaun MTTSL dan tiada saham sedia ada dijual.

 

Pengerusi Eksekutif MTTSL, Datuk Seri Ong Kean Lee berkata IPO ini adalah langkah penting untuk mengukuhkan asas modal syarikat dan meningkatkan profil korporatnya. 

 

“MTTSL mahu terus mengembangkan rangkaian penghantaran dan logistik serta mempertingkatkan kecekapan operasi.

 

“Kami mempunyai lebih daripada satu dekad pengalaman dan rekod prestasi yang kukuh dalam industri. Syarikat kini mempunyai kehadiran strategik di pelabuhan utama Malaysia dan sedang berkembang ke rantau Asia Tenggara serta wilayah Asia Timur hingga sebahagian benua India,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Berhad, Nor Masliza Sulaiman berkata beliau yakin syarikat berada pada kedudukan baik untuk mengekalkan kepimpinan pasaran domestik dan meneroka peluang serantau.

 

CEO Affin Hwang Investment Bank Berhad Hanif Ghulam pula menegaskan mereka berbesar hati dapat terlibat dalam pelaburan penting ini dan akan terus membantu MTTSL dalam fasa pertumbuhan seterusnya.

 

MTTSL kini memiliki 26 kapal kontena Malaysia yang terbesar dan termoden menghubungkan laluan utama antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur. Selain itu, syarikat mempunyai lima depot kontena di seluruh negara untuk menyokong operasi logistiknya. - DagangNews.com