KUALA LUMPUR 24 Feb - MSM Malaysia Holdings Bhd, mencatat hasil RM96 juta pada bagi suku keempat tahun kewangan berakhir Disember 2024 (4QFY24), meningkat 81% berbanding suku yang sama tahun lepas (4QFY23) iaitu RM53 juta.
Pengeluar gula halus itu berkata, peningkatan hasil itu didorong oleh operasi lebih cekap dan penggunaan tenaga yang lebih baik, membawa kepada penggunaan gas rendah.
Kumpulan itu mencapai volum jualan 11% lebih tinggi pada 4QFY24 berbanding suku yang sama tahun lepas, menunjukkan permintaan kukuh daripada pasaran domestik dan eksport.
Bagaimanapun, hasil kumpulan sebanyak RM944 juta lebih rendah sedikit 1% daripada tempoh yang sama tahun lepas, daripada harga Jualan Purata (ASP) 11% lebih rendah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, untung MSM pada suku tersebut merupakan hasil daripada kecekapan operasi segmen pengeluarannya.
"Pada suku tersebut, volum jualan komersial meningkat sebanyak 11%. Namun, pertumbuhan ini telah diimbangi oleh penurunan 11% dalam ASP.
"Termasuk dalam hasil ini adalah insentif kerajaan yang diberikan kepada industri gula tempatan untuk menangani anomali dalam ekonomi gula, di mana harga siling kawalan yang tidak berubah adalah harga yang terendah di rantau ASEAN," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, bagi tempoh 12 bulan (12M) FY24, MSM mencatatkan hsail pulangan semula sebanyak RM75 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM28 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
“Industri gula terus menghadapi kos input tinggi yang berpanjangan, dengan harga pengangkutan global dan gas asli kekal tinggi.
"Selain itu, harga gula mentah tidak menentu disebabkan turun naik dalam jumlah pengeluaran global. Untuk mengurangkan risiko ini, MSM terus meningkatkan amalan lindung nilai gula mentah kami sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko yang lebih luas.
"Walaupun menghadapi cabaran ini, kami tetap komited untuk mengukuhkan kedua-dua pasaran domestik dan eksport kami di tengah-tengah permintaan yang stabil, sambil meneroka peluang serantau tambahan," katanya.- DagangNews.com








