KUALA LUMPUR 30 April – MSM Malaysia Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang lebih lemah bagi tahun kewangan berakhir 2025 apabila kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM397.25 juta berbanding keuntungan RM31.25 juta pada tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar gula itu berkata keputusan itu dipengaruhi oleh persekitaran pasaran gula global yang mencabar.
“Hasil kumpulan turut menurun kepada RM3.09 bilion daripada RM3.54 bilion pada 2024, susulan penurunan harga jualan purata dan volum jualan yang lebih rendah dalam beberapa segmen pelanggan utama.
“Keuntungan sebelum cukai bertukar kepada kerugian RM374.86 juta berbanding keuntungan RM74.96 juta pada tahun sebelumnya, mencerminkan tekanan margin yang ketara sepanjang tahun kewangan 2025.
“Kerugian tersebut turut dipengaruhi oleh pelarasan rosot nilai bukan kewangan sebanyak RM359.96 juta, yang dibuat berdasarkan semakan semula unjuran aliran tunai masa hadapan selaras dengan keadaan pasaran semasa,” kata MSM.
Dari sudut persekitaran global, industri gula berdepan lebihan bekalan ketara susulan pengeluaran di Brazil, India dan Thailand yang menyebabkan harga gula mentah antarabangsa berada di bawah tekanan berpanjangan.
Keadaan itu turut dipengaruhi oleh faktor lain seperti turun naik mata wang, perubahan harga tenaga dan dasar eksport di beberapa negara pengeluar utama, yang menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.
Di peringkat domestik, permintaan Malaysia kekal berdaya tahan namun dipengaruhi oleh faktor struktur termasuk aliran import gula, mekanisme harga tetap serta pertimbangan dasar yang memberi kesan kepada persaingan dalam pasaran tempatan.
Sepanjang tahun, MSM melaksanakan pengurusan operasi yang lebih berdisiplin dengan menyelaraskan pengeluaran kepada permintaan, selain mengurangkan tahap penggunaan kapasiti kepada 49 peratus bagi mengelakkan lebihan inventori dan melindungi aliran tunai.
Dari sudut kedudukan kewangan, jumlah pinjaman kumpulan berjumlah RM855.48 juta, manakala nisbah gearings meningkat kepada 40 peratus berbanding 34 peratus pada tahun sebelumnya, disebabkan penurunan ekuiti akibat kerugian dan rosot nilai.
Bagi prospek 2026, MSM menjangkakan persekitaran pasaran kekal kompetitif namun lebih stabil, dengan fokus kepada pemulihan margin secara berperingkat melalui pengurusan kos, pengoptimuman pengeluaran serta disiplin aliran tunai.
Kumpulan itu berkata keutamaan pada tahun 2026 adalah untuk menstabilkan perniagaan, mengukuhkan asas kewangan serta melaksanakan pelan perniagaan MSM 2026 hingga 2028 secara berperingkat bagi memastikan daya tahan jangka panjang. - DagangNews.com








