MSB Global terima kelulusan penyeneraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, terbitkan 133 juta saham IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSB Global terima kelulusan penyeneraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia, terbitkan 133 juta saham IPO

Gambar hiasan dari laman web rasmi MSB Global Group
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - MSB Global Group Bhd menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia bagi penyenaraian dengan Pasaran ACE dengan menerbitkan sebanyak 133 juta saham baharu dalam Tawaran Awam Permulaan (IPO). 

 

Pemain industri alat ganti sektor automatif itu berkata, IPO tersebut mewakili 21.8% daripada modal terbitan diperbesarkan sebanyak 610 juta saham. 

 

"Sebanyak 30.5 juta saham atau 5% daripada modal saham terbitan kumpulan yang diperbesarkan, dengan 2.50% disediakan kepada pelabur awam dan baki 2.50% disediakan kepada pelabur awam Bumiputera.

 

"Selain itu, lebih 6 juta saham akan diperuntukkan kepada pengarah yang layak, pengurusan kanan utama dan pekerja. 

 

“Di samping itu, 76.25 juta saham atau 12.5% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

"Selebihnya 20.15 juta saham atau 3.30% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan dikhaskan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MSB juga menjual 74 juta saham atau 12.13% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

M & A Securities Sdn Bhd ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk IPO ini.

 

Pengarah Urusan MSB, Datuk Ow Kee Foo berkata, IPO ini akan membuka peluang baharu untuk memacu inovasi, mengukuhkan jenama dan mempercepatkan pertumbuhan kumpulan dalam industri alat ganti dan komponen selepas pasaran automotif. 

 

"Komitmen kami terhadap kemajuan teknologi dan penambahbaikan berterusan akan membolehkan kami memperkenalkan kategori produk baharu, termasuk pengecas kenderaan elektrik (EV), meningkatkan kecekapan operasi dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju industri," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan M & A Securities, Datuk Bill Tan berkata, reputasi kukuh MSB Global, rangkaian pengedaran yang luas, dan pasukan kepimpinan yang kukuh meletakkannya sebagai calon yang luar biasa di Pasaran ACE.

 

"Dengan keupayaan yang terbukti untuk menyesuaikan diri dan berinovasi, MSB berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan peluang yang muncul, termasuk teknologi EV, memacu pertumbuhan jangka panjang. 

 

"IPO ini akan memberikan momentum kepada MSB Global untuk meningkatkan operasinya dan merebut peluang pasaran baharu," katanya. - DagangNews.com