MSB Global meterai MoU dengan Zhejiang GSP&DC teroka pasaran penyimpanan tenaga di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSB Global meterai MoU dengan Zhejiang GSP&DC teroka pasaran penyimpanan tenaga di Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Jan - Anak syarikat milik penuh MSB Global Group Berhad, iaitu MSB Machinery Corporation (Malaysia) Sdn Bhd, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan syarikat teknologi bateri dari China, Zhejiang GSP&DC Energy Technology Co., Ltd., sebagai langkah strategik memasuki sektor penyimpanan tenaga di Malaysia.

 

MOU yang ditandatangani pada 26 Januari 2026 itu menetapkan rangka kerjasama bagi kedua-dua syarikat untuk bersama-sama meneroka dan membangunkan pelbagai penyelesaian penyimpanan tenaga, termasuk untuk kegunaan komersial, industri, dan kediaman, kata syarikat itu kepada Bursa Malaysia.

 

Kerjasama ini memanfaatkan kepakaran Zhejiang GSP&DC dalam teknologi bateri litium ion pejal dan hibrid cecair-pejal, serta kehadiran MSB Machinery yang mantap di pasaran tempatan, rangkaian pelanggan, dan saluran pengedaran di Malaysia.

 

Di bawah perjanjian ini, satu pasukan projek khas akan ditubuhkan bagi menyatukan sumber kedua-dua pihak dan merangka strategi pembangunan pasaran yang disasarkan, mengambil kira arah peraturan, permintaan pelanggan, dan landskap persaingan pasaran penyimpanan tenaga di Malaysia.

 

Kerjasama ini sejajar dengan strategi MSB Global untuk mempelbagaikan portfolio perniagaan dan meneroka peluang pertumbuhan baharu dalam pasaran penyimpanan tenaga yang pesat berkembang, kata MSB Global.

 

MOU ini berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sah selama enam bulan, melainkan ditamatkan lebih awal oleh mana-mana pihak.

 

Walaupun perjanjian ini tidak memberi kesan kepada modal saham atau pendapatan MSB Global bagi tahun kewangan semasa, syarikat menjangkakan kerjasama ini berpotensi menyumbang secara positif kepada pendapatan sekiranya perjanjian muktamad tercapai.

 

MSB Global berkata kerjasama ini memberikan peluang untuk meneroka potensi kerjasama strategik dengan memanfaatkan kepakaran teknologi Zhejiang GSP&DC dalam penyelesaian penyimpanan tenaga, sambil memanfaatkan operasi dan rangkaian pengedaran MSB Machinery di Malaysia.

 

Lembaga pengarah juga mengesahkan bahawa tindakan menandatangani MOU adalah memang selaras dengan kepentingan terbaik syarikat dan anak syarikatnya, dan tiada pengarah atau pemegang saham utama yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam perjanjian ini.

 

MSB Machinery, yang ditubuhkan pada tahun 2000, menjalankan aktiviti pemasaran dan pengedaran alat ganti kereta, pelincir, dan produk berkaitan lain. Zhejiang GSP&DC, yang ditubuhkan pada tahun 2024, menumpukan kepada penyelidikan, pembangunan, dan jualan bateri litium ion pejal yang canggih. - DagangNews.com