KUALA LUMPUR 6 Jan – MSB Global Group Berhad terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran automotif serantau melalui kerjasama strategik dengan Thai Sin Anant Rubber Factory (TSAR) di Thailand.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata anak syarikat milik penuhnya, MSB Machinery Corporation (Malaysia) Sdn Bhd menandatangani perjanjian untuk menubuhkan syarikat usaha sama baharu yang akan memfokuskan import, pengedaran dan jualan komponen automotif di bawah jenama Gold Series.
“Usahasama ini bertujuan menyalurkan produk seperti penyerap hentak dan komponen automotif lain, menggabungkan kepakaran produk MSB Machinery dengan keupayaan operasi dan pengetahuan pasaran tempatan TSAR,” katanya dalam makluman itu.
TSAR yang ditubuhkan pada 1973, merupakan pengeluar power transmission belts terkenal di Thailand dengan pengalaman luas dalam sektor automotif, industri dan pertanian.
Kehadiran dan rekod operasi TSAR menjadikannya rakan strategik yang sesuai untuk pengembangan MSB Global di Thailand.
Syarikat usahasama tersebut akan diperuntukkan modal sebanyak THB5 juta, dengan TSAR memegang 81% ekuiti manakala MSB Machinery memegang 19%.
Lembaga pengarah syarikat akan terdiri daripada tiga pengarah yang mewakili kedua-dua pihak.
Pengarah Urusan MSB Global Datuk Ow Kee Foo berkata kerjasama ini membolehkan syarikat memasuki pasaran Thailand secara cekap dari segi modal sambil mengekalkan pendedahan terhadap pertumbuhan salah satu pasaran automotif terbesar ASEAN.
Beliau menambah jenama Gold Series telah diterima baik di pasaran sedia ada, dan usahasama ini membolehkan model pengedaran tersebut dilaksanakan di Thailand dengan kaedah tempatan yang sesuai.
“Usahasama itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan MSB Global dari semasa ke semasa, walaupun ia tidak dijangka memberi kesan material segera terhadap modal saham atau aset bersih Kumpulan,” katanya.
Perjanjian ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kerana dimeterai dalam urusan perniagaan biasa, sekali gus menjadikannya langkah strategik yang lancar bagi syarikat.
Pasaran automotif Thailand menunjukkan pemulihan jelas, dengan jualan kereta domestik meningkat 20.65% tahun ke tahun pada November 2025, sekali gus meningkatkan keperluan untuk alat ganti selepas pasaran.
MSB Global yakin usahasama ini berada pada kedudukan sesuai untuk menangkap permintaan yang meningkat terhadap komponen automotif berkualiti di bawah jenama Gold Series.
Kumpulan akan memanfaatkan kepakaran produk dan rangkaian pembekal sedia ada MSB Global, berserta keupayaan pelaksanaan tempatan TSAR, untuk membina platform pertumbuhan mampan di Thailand.
MSB Global terus menekankan komitmennya dalam menyediakan penyelesaian automotif berkualiti tinggi, memperkukuh kedudukan pasaran dan memacu pertumbuhan jangka panjang dalam industri automotif selepas pasaran di Malaysia dan kini di Asia Tenggara. - DagangNews.com








