MRCA gesa peruncit percepat guna AI, analitik data tingkatkan daya saing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRCA gesa peruncit percepat guna AI, analitik data tingkatkan daya saing

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Nov – Dalam menghadapi peningkatan kos operasi yang semakin menekan, Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) menggesa para peruncit di seluruh negara agar mempercepatkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan analitik data bagi meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan kos serta mengekalkan keuntungan.

 


Presiden MRCA, Datuk Dr Ken Phua berkata, lonjakan kos tenaga kerja dan cukai telah mewujudkan cabaran besar kepada sektor runcit, sekali gus menuntut para peruncit menyesuaikan strategi pengurusan mereka dengan lebih pantas dan berasaskan data.

 


“Peningkatan SST dan kos tenaga kerja telah menolak ramai peruncit ke had mereka. Kami telah berulang kali menyeru pelaksanaan SST secara berperingkat bagi mengelak ketidakstabilan industri.

 


Namun begitu, para peruncit kini perlu melihat ke dalam dan menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan. 

 

Teknologi dan analitik data bukan lagi pilihan, namun ia adalah keperluan untuk kelangsungan dan pertumbuhan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 


Beliau berkata demikian selepas MRCA, dengan kerjasama syarikat perisian runcit Xilnex Holdings Sdn Bhd, menganjurkan satu bengkel khas yang memperkenalkan konsep Data Scientist as a Service (DSaaS) kepada ahli-ahli MRCA.

 


Melalui bengkel tersebut, para peruncit diberi pendedahan mengenai cara memanfaatkan analitik ramalan dan teknologi AI tanpa perlu menubuhkan pasukan data dalaman, sekali gus membolehkan peruncit kecil dan sederhana turut menikmati kelebihan keputusan berasaskan data.

 


“MRCA komited untuk menyokong semua ahli kami dalam mengguna pakai penyelesaian inovatif agar mereka kekal berdaya saing dalam persekitaran kos yang semakin mencabar ini,” tambah Ken.

 

Menurut MRCA, kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang kini turut dikenakan ke atas sewaan hartanah komersial telah menambah tekanan kewangan kepada peruncit, terutamanya apabila tuan tanah memindahkan beban cukai tambahan kepada penyewa.

 


Selain itu, kadar elektrik yang meningkat, gaji minimum yang lebih tinggi, serta keperluan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pekerja asing turut menyumbang kepada peningkatan kos tetap, memaksa pemilik perniagaan menilai semula strategi operasi mereka.

 

MRCA menjelaskan, pihaknya akan terus memperluas inisiatif latihan dan bengkel teknologi runcit bersama rakan industri seperti Xilnex bagi membantu ahli-ahlinya menyesuaikan diri dengan perubahan struktur kos dan tingkah laku pengguna yang semakin digital.

 


“Kami percaya kolaborasi antara MRCA dan penyedia teknologi tempatan akan mempercepat transformasi digital dalam sektor runcit Malaysia,” ujar Ken. - DagangNews.com