KUALA LUMPUR 25 Mac — MR DIY Group (M) Berhad berdepan risiko penyingkiran daripada indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jika kedudukan permodalan pasarannya terus merosot.
Menurut MBSB Research, syarikat peruncitan itu ketika ini berada di tangga ke-35, iaitu hampir kepada paras penyingkiran yang ditetapkan bursa pada kedudukan ke-36 atau posisi yang lebih rendah.
Kumpulan tersebut kata firma tersebut bakal berdepan penyingkiran sekiranya terus jatuh satu lagi anak tangga, dengan United Plantations Berhad dilihat sebagai paling berpotensi menggantikannya.
"Kami menjangkakan semakan separuh tahunan FBM KLCI pada Jun 2026 menyaksikan perubahan minimum, dengan kebanyakan 30 komponen utama diramal masih kekal," jelasnya dalam analisis hari ini.
Bagaimanapun tambah MBSB Research, kedudukan MR DIY adalah rapuh kerana jurang dengan pesaing terdekat semakin kecil, termasuk KPJ Healthcare Berhad yang hanya beberapa sen di belakangnya.
Dalam pada itu, firma tersebit turut menekankan IOI Corporation Berhad berisiko gagal memenuhi keperluan kecairan selepas merekodkan kadar pusing ganti median bulanan di bawah ambang 0.04%.

Ia dicatatkan selama beberapa bulan pada 2025, dan mengikut peraturan FTSE, sesuatu saham perlu melepasi sekurang-kurangnya lapan daripada 12 bulan ujian kecairan untuk kekal dalam indeks.
"Sementara itu, Sunway Healthcare Holdings Berhad sudah dimasukkan ke dalam senarai FBM KLCI susulan penyenaraian terbaharunya sebagai menggantikan QL Resources Berhad," kata MBSB Research.
Saham tersebut melonjak 27.6% pada hari pertama dagangan kepada RM1.85, sekali gus menduduki tangga ke-26 dari segi permodalan pasaran dan layak untuk kemasukan segera ke dalam indeks.
Secara keseluruhan, semua 40 saham teratas ketika ini memenuhi syarat pegangan awam minimum melebihi 15%, namun beberapa syarikat bukan komponen masih gagal memenuhi keperluan kecairan.
Dalam konteks ini, kedudukan MR DIY akan terus menjadi tumpuan pelabur menjelang semakan indeks akan datang, memandangkan sebarang perubahan boleh memberi kesan kepada aliran dana. - DagangNews.com








