MPOB fokus R&D, tingkatkan daya saing industri sawit berdepan ketidaktentuan global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPOB fokus R&D, tingkatkan daya saing industri sawit berdepan ketidaktentuan global

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir semasa menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2026 di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 April – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)) memperkukuh hala tuju penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri sawit negara bagi memastikan sektor itu kekal berdaya saing dalam persekitaran pasaran minyak sayuran global yang tidak menentu akibat ketegangan geopolitik antarabangsa.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata ketidakstabilan geopolitik khususnya di Timur Tengah telah memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor termasuk pasaran minyak dan lemak dunia, sekali gus memerlukan pendekatan lebih strategik, berasaskan sains serta inovasi bagi memperkukuh daya tahan industri.

 

“Sehubungan itu, hala tuju R&D MPOB  perlu diselaras agar selari dengan keperluan industri dan perkembangan global. 

 

“Pendekatan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai sawit, daripada huluan hingga hiliran, dengan penekanan kepada inovasi, aplikasi teknologi serta impak sosio-ekonomi,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) MPOB 2026 yang berlangsung selama empat hari dengan fokus utama menyelaras hala tuju R&D merentasi keseluruhan rantaian nilai industri sawit daripada peringkat huluan hingga hiliran.

 

t
Antara barisan Ahli Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) MPOB semasa Majlis pembukaan SMesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) 2026 di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi. 

 

Menurut beliau, PAC memainkan peranan penting dalam memastikan penyelidikan MPOB selari dengan keperluan industri dan perkembangan global, termasuk aspek inovasi teknologi, aplikasi baharu serta impak sosio-ekonomi kepada pemain industri dan negara.

 

Mesyuarat tersebut turut membincangkan pelaksanaan strategi di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030 (DAKN2030), termasuk pensijilan mandatori Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0), program penanaman semula pekebun kecil dengan peruntukan sekitar RM171 juta serta pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF).

 

Selain itu, MPOB turut menekankan penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan dron dalam meningkatkan kecekapan pengurusan ladang, pemantauan tanaman serta proses pengeluaran bagi memperkukuh produktiviti dan daya saing industri sawit negara.

 

PAC yang dianggotai oleh saintis, pakar industri, ahli akademik serta ilmuwan dari dalam dan luar negara turut memberi penekanan kepada strategi meningkatkan hasil sawit, termasuk menangani ancaman penyakit Ganoderma serta memperkukuh pembangunan bahan tanaman berprestasi tinggi melalui teknologi genomik terkini.

 

t
Suasana sesi pembentangan dan penilaian penyelidikan semasa PAC 2026 di Ibu Pejabat MPOB, Bandar Baru Bangi. 

 

Dalam masa yang sama, enam bidang utama R&D MPOB terus diperkasa iaitu prestasi hasil, mitigasi dan adaptasi perubahan iklim, pengilangan pemprosesan dan mekanisasi, keselamatan makanan dan pemakanan, nilai tambah, serta tekno dan sosio-ekonomi bagi memastikan pembangunan industri lebih holistik dan menyeluruh.

 

Aspek kemampanan turut menjadi keutamaan, khususnya dalam memenuhi keperluan piawaian antarabangsa seperti Peraturan Bebas Penyahhutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menuntut rantaian bekalan bebas penebangan hutan serta tahap kebolehkesanan yang tinggi, di samping memperkukuh peranan sawit dalam peralihan tenaga melalui adunan biodiesel dan keterjaminan makanan global sebagai tanaman minyak sayuran paling efisien.

 

MPOB menegaskan semua inisiatif R&D, kerjasama antarabangsa serta pemindahan teknologi akan terus diperkasa bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal mampan, berdaya tahan dan relevan di peringkat global walaupun berdepan cabaran ekonomi dan ketidaktentuan pasaran dunia. - DagangNews.com