KUALA LUMPUR 14 April – Malaysian Press Institute (MPI) mencatat kedudukan kewangan yang lebih kukuh bagi tahun 2025 hasil pelaksanaan pelbagai program latihan dan pembangunan profesional yang dilaksanakan sepanjang tahun tersebut.
Peningkatan prestasi kewangan itu didorong oleh permintaan tinggi terhadap program latihan media, selain usaha MPI memperluas tawaran kursus bagi memenuhi keperluan industri kewartawanan yang semakin berubah.
Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata pihaknya akan meneruskan perancangan untuk melaksanakan program pembelajaran berstruktur dan berimpak tinggi khusus untuk wartawan bermula 2026.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan serta institusi pengajian tinggi bagi memperkukuh ekosistem latihan media negara.
“MPI komited memastikan wartawan Malaysia terus berintegriti, berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan landskap media yang semakin kompleks serta dipacu teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPI yang berlangsung secara hibrid dari Pusat Latihan MPI di Cyberjaya, hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut menggalakkan penyertaan pengamal media daripada unit komunikasi korporat untuk turut serta dalam program latihan yang disusun MPI pada tahun ini.
Mesyuarat tersebut disertai seramai 33 ahli termasuk proksi yang mewakili organisasi masing-masing.
Selain itu, ahli mesyuarat turut bersetuju mengekalkan tempoh lantikan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden selama tiga tahun selaras dengan Klausa 77(b) Perlembagaan MPI.
Antara yang hadir secara fizikal termasuk Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Kumpulan Media Chinese International (Malaysia), Datuk Kuik Cheng Kang; serta Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Dr Haji Ainol Amriz Ismail turut hadir bersama setiausaha syarikat dan juruaudit yang dilantik. - DagangNews.com








