KUALA LUMPUR 14 April – Moomoo Securities Malaysia Sdn Bhd menjadi broker berlesen pertama di Malaysia yang menawarkan dagangan opsyen saham Hong Kong untuk memperluaskan akses pelabur tempatan kepada pasaran derivatif serantau melalui satu platform digital bersepadu.
Langkah ini membolehkan pelabur tempatan mengakses pelaburan berkaitan saham syarikat yang disenaraikan di Hong Kong Exchanges and Clearing Limited (HKEX), sekali gus membuka peluang baharu untuk terlibat dalam strategi pelaburan di pasaran tersebut.
Dengan pelancaran ini, pelabur boleh menggunakan satu aplikasi untuk mengakses pasaran Hong Kong dan Amerika Syarikat dalam satu platform yang memudahkan pelabur mengurus pelaburan merentasi dua pasaran utama tanpa perlu menggunakan platform berasingan.
Platform itu juga membolehkan pelabur berdagang pada waktu berbeza mengikut pasaran, iaitu pasaran Hong Kong ketika waktu siang di Asia dan pasaran Amerika Syarikat pada waktu malam, memberi lebih fleksibiliti kepada pelabur untuk membuat urus niaga mengikut masa yang sesuai di pelbagai rantau dunia.
Moomoo Malaysia memaklumkan pendekatan ini bertujuan memberikan fleksibiliti lebih tinggi kepada pelabur dalam mengurus portfolio merentas pasaran global, terutama ketika pergerakan pasaran semakin dipacu oleh faktor makroekonomi yang berbeza.
Platform itu turut dilengkapi dengan ‘HKEX Level 1 options quotes’ secara masa nyata, selain alat analisis strategi opsyen yang membolehkan pengguna membina serta mendapat gambaran strategi dagangan dengan lebih jelas termasuk penilaian risiko dan potensi pulangan.

Selain itu, ekosistem digital berkenaan turut menggabungkan akses kepada berita pasaran, penyelidikan, kandungan pendidikan pelaburan serta perbincangan komuniti yang menghubungkan pengguna kepada rangkaian global lebih 29 juta pelabur.
Ketua Pegawai Eksekutif Moomoo Malaysia, Ivan Mok berkata pelancaran itu mencerminkan usaha syarikat untuk mentransformasikan pengalaman pelaburan moden yang tidak lagi terhad kepada satu pasaran atau satu zon masa sahaja.
Beliau berkata pelabur kini boleh mengurus dagangan Hong Kong pada siang hari dan dagangan Amerika Syarikat pada waktu malam dalam satu aplikasi, memberikan kawalan lebih besar terhadap strategi pelaburan mereka dalam persekitaran pasaran yang semakin kompleks.
Moomoo Malaysia berkata platformnya turut menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk anugerah seperti Teknologi Dagangan Terbaik, Teknologi Penyelidikan Pelaburan Terbaik, Platform Dagangan Terbaik serta Broker Runcit Terbaik di Singapura oleh Securities Investors Association (Singapore).
Dalam perkembangan berkaitan, Moomoo Malaysia berkata pengembangan produk ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran pelaburan digital tempatan serta memperluas akses pelabur Malaysia kepada pasaran global yang lebih luas. - DagangNews.com








