KUALA LUMPUR 2 April – Tidak sampai tiga minggu dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif NexG Bhd, Mohamed Najib Ishak dan Datuk Seri Muthanna Abdullah meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 April 2026.
Peletakan jawatan itu menunjukkan pergolakan dalaman NexG masih belum reda kerana kedua-dua mereka baru sahaja dilantik pada 13 Mac lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, NexG berkata Mohamed Najib dan Muthanna Abdullah berundur daripada jawatan masing-masing kerana ingin memberi tumpuan kepada kepentingan lain.
Dengan peletakan jawatan itu, NexG kini mempunyai 10 ahli lembaga pengarah yang diketuai oleh Datuk Ishak Ismail sebagai Pengerusi Eksekutif, manakala Datuk Abu Hanifah Noordin memegang jawatan Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan.
NexG yang merupakan pembekal tunggal pasport Malaysia serta produk berkaitan MyKad, menjadi tumpuan dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan perebutan jawatan dalam syarikat.
Perkembangan itu dipercayai tercetus selepas kemunculan Raya Aviation Holdings sebagai pemegang saham terbesar pada 4 Mac dengan pegangan sebanyak 20.4 peratus, selepas mengambil alih Skyelimit Alliance Sdn Bhd dan Trendtrove Tradin Sdn Bhd.
ARTIKEL BERKAITAN: Ishak Ismail, anak sertai lembaga pengarah NexG selepas tamat krisis perebutan kuasa dengan 7 pengarah meletak jawatan
Raya Aviation dilaporkan mempunyai kaitan dengan Ishak Ismail menerusi anak-anaknya, Mohamed Najib dan Mohamad Yusof, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pengaruh dalam struktur pemilikan syarikat.
Sehari selepas itu, pada 5 Mac, NexG mengumumkan penggantungan sementara kuasa eksekutif Hanifah bagi membolehkan semakan dibuat terhadap beberapa pelaburan syarikat.
Dalam tempoh penggantungan itu, Hanifah mendakwa beliau menjadi sasaran kerana membantah cadangan menyerahkan kontrak kerajaan kepada pihak luar, selain mendakwa wujud penyalahgunaan kuasa serta tekanan terhadap pengarah dan pengurusan kanan untuk meletakkan jawatan.
Penggantungan tersebut ditarik balik pada 11 Mac, hari yang sama menyaksikan lima daripada tujuh pengarah yang ingin disingkirkan Hanifah melalui mesyuarat agung luar biasa meletakkan jawatan secara serentak, manakala dua lagi telah berundur lebih awal.
Susulan itu, lapan individu termasuk Ishak Ismail, Mohamed Najib dan Muthanna dilantik sebagai pengarah pada 13 Mac bagi mengisi kekosongan, sebelum Ishak kemudiannya dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif pada 27 Mac, manakala Hanifah mengambil peranan sebagai Timbalan Pengerusi Eksekutif.
Perkembangan terbaharu ini menunjukkan perebutan kuasa dalam kepimpinan NexG masih belum stabil walaupun konflik sebelum ini dilihat telah reda. - DagangNews.com








