KUALA LUMPUR 12 Feb - Kementerian Kewangan (MOF) berkata, pihaknya masih belum membuat keputusan akhir mengenai pelaksanaan peraturan cukai eksais baharu yang berpotensi menyebabkan kenaikan harga kenderaan.
MOF berkata, pihaknya bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta industri automotif, sedang meneliti kaedah penilaian kenderaan bagi memastikan pelaksanaan cukai dilakukan secara adil, neutral dan konsisten.
Menurut kementerian itu, ia bagi memastikan pelaksanaan cukai eksais tidak membebankan rakyat serta mengekalkan daya saing industri.
"MOF belum membuat sebarang keputusan muktamad," kata MOF dalam satu kenyataan, semalam seperti laporan The Edge.
Peraturan cukai eksais baharu itu tertakluk di bawah P.U.(A) 402/2019 — Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Cukai Eksais).
The Edge sebelum ini melaporkan, industri automotif telah berjaya mendapatkan lanjutan lain bagi cadangan semakan cukai eksais untuk kereta pemasangan tempatan sehingga 31 Disember tahun ini.
Namun, kemungkinan besar tiada lagi lanjutan selepas 2026, yang bermakna harga kereta dijangka meningkat dengan ketara mulai tahun depan. - DagangNews.com








