KUALA LUMPUR 26 Mei – MNRB Holdings Bhd menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai antara pemain reinsurans terbesar di Asia apabila merancang mengambil alih sepenuhnya Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) menjelang suku keempat 2026, tertakluk kepada semua syarat kelulusan yang ditetapkan.
Pengambilalihan itu melibatkan pembelian baki 80 peratus pegangan dalam Labuan Re pada nilai keseluruhan kira-kira AS$100.69 juta (RM400.9 juta) yang akan menjadikan syarikat tersebut anak syarikat milik penuh kumpulan.
Ketika ini, MNRB memegang 20 peratus kepentingan tidak langsung dalam Labuan Re melalui anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Reinsurance Bhd (Malaysian Re), menjadikan transaksi ini sebagai langkah pengambilalihan menyeluruh bagi mengukuhkan struktur kumpulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan interim MNRB, Rudy Rodzila Che Lamin berkata, beberapa syarat masih perlu dipenuhi sebelum transaksi dimuktamadkan, termasuk kelulusan Bank Negara Malaysia serta pemegang saham.
Menurut beliau, langkah ini bukan sekadar pengembangan korporat, sebaliknya merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan untuk memperluaskan operasi ke pasaran antarabangsa dan mengukuhkan perniagaan reinsurans.
“Selepas pengambilalihan ini selesai, kami akan memperluaskan lagi operasi ke beberapa pasaran termasuk insurans khas dan penyelesaian berstruktur, selain memperkukuh segmen sedia ada Malaysian Re,” katanya pada taklimat media prestasi kewangan kumpulan.
Beliau berkata, kedua-dua entiti iaitu Malaysian Re dan Labuan Re akan terus beroperasi secara serentak mengikut kepakaran masing-masing, namun akan diselaraskan bagi mewujudkan sinergi operasi yang lebih kukuh.
“Dalam erti kata mudah, kami sedang melakukan penyatuan portfolio penajaan jamin antara kedua-dua platform ini,” katanya.
Tambah beliau, MNRB turut menegaskan kedudukannya sebagai antara syarikat reinsurans terbesar di Asia Tenggara dari segi aset, dan menyasarkan untuk berada dalam kelompok lima pemain reinsurans terbesar di Asia pada masa hadapan.

Langkah ini juga dilihat memperkukuh kedudukan Malaysian Re yang terus memainkan peranan penting dalam segmen reinsurans domestik dan antarabangsa, manakala Labuan Re akan menjadi platform strategik bagi operasi luar negara kumpulan.
Dari segi struktur operasi, Labuan Re beroperasi di Labuan iaitu pusat kewangan luar pesisir Malaysia, yang menawarkan kos modal lebih rendah, kecairan lebih baik serta manfaat struktur cukai yang lebih kompetitif.
Keadaan ini membolehkan MNRB memperluaskan capaian ke pasaran global dengan lebih efisien, selain meningkatkan keupayaan kumpulan dalam mengurus risiko antarabangsa.
Dalam pada itu, MNRB menegaskan pendedahan kumpulan terhadap konflik di Asia Barat adalah terhad, memandangkan impak utama hanya melibatkan segmen marin dan kargo, selain kebanyakan polisi standard industri tidak meliputi risiko perang.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Sharmini Perampalam berkata, kesan konflik tersebut lebih bersifat tidak langsung terhadap industri insurans dan takaful secara keseluruhan, khususnya dari sudut ekonomi global.
“Jika konflik berpanjangan, ia boleh memberi kesan ekonomi yang lebih luas, dan industri insurans biasanya antara sektor terawal terkesan dalam keadaan seperti itu,” katanya.
Mengenai pengukuhan ringgit, beliau berkata, keadaan itu memberi kesan bercampur kepada kumpulan kerana kira-kira 50 peratus portfolio pelaburan MNRB melibatkan mata wang asing.
Bagaimanapun, katanya, kumpulan melaksanakan strategi lindung nilai secara aktif bagi mengurangkan risiko turun naik mata wang, walaupun tidak dapat mencapai perlindungan 100 peratus secara sempurna.
MNRB optimis pengambilalihan Labuan Re ini akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan dalam usaha mengukuhkan kedudukan sebagai pemain reinsurans bertaraf serantau dan global. - DagangNews.com








