KUALA LUMPUR 14 Feb - Anak syarikat penuh MN Holdings Bhd, MN Power Transmission Sdn Bhd, mencapai penyelesaian dengan Bras Ventures Bhd, berhubung pembayaran tertunggak RM1.05 juta dengan perintah persetujuan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi.
MN Holdings berkata, perintah itu melibatkan projek reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penyampaian (EPCC) untuk Pembangunan Talian Penghantaran Udara 275kV Pengerang Dari Loji Cogen Pengerang (PCT) ke Grid Semenanjung Malaysia dan Substesen Pengerang 275/132kV.
"Bras Ventures akan membayar RM700,000 dengan sembilan ansuran bulanan sebagai sebahagian daripada penyelesaian.
"Dengan pengisytiharan perintah persetujuan ini, kes tersebut kini selesai," jelas syarikat dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, baru-baru ini.
Pada Julai 2023, MN Power Transmission memulakan prosiding undang-undang terhadap Bras Ventures untuk menuntut pembayaran tertunggak sebanyak RM1.05 juta.
MN Power Transmission dilantik oleh Bras Ventures untuk melaksanakan kerja-kerja pemasangan bagi projek tersebut.
Walaupun telah menyiapkan tugas yang diberikan serta kerja tambahan seperti yang diarahkan, Bras Ventures didakwa gagal menyelesaikan pembayaran tertunggak, menyebabkan MN Power Transmission memfailkan writ saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam. - DagangNews.com








