KUALA LUMPUR 4 Julai – MN Holdings Bhd menerusi MN Power Transmission Sdn Bhd memperoleh kontrak RM29.3 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi projek kejuruteraan pencawang di Johor.
Projek itu termasuk pembekalan, pemasangan dan pentauliahan unit pencawang voltan tinggi menggunakan teknologi suis berpenebat, termasuk kerja sivil dan sistem elektrik sekunder.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pihaknya menerima surat anugerah daripada TNB bagi kerja sambungan dua unit pencawang 132/33 kilovolt (kV) di pencawang masuk utama sedia ada di Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.
Kontrak tersebut tidak termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dijangka siap dalam tempoh 540 hari dari tarikh permulaan.
MN Power Transmission juga dikehendaki mengemukakan jaminan prestasi sebanyak RM1.47 juta atau 5% daripada nilai kontrak dalam tempoh 56 hari dari tarikh anugerah.
Selain itu, syarikat perlu mendapatkan perlindungan insurans yang lengkap termasuk insurans risiko pembinaan menyeluruh, pampasan pekerja, liabiliti awam dan polisi berkaitan lain.
Anugerah projek tersebut mencerminkan keupayaan dan kepakaran berterusan MN dalam menyediakan rumusan infrastruktur tenaga, selain dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan.- DagangNews.com








