KUALA LUMPUR 28 Mac - MN Holdings Berhad menerusi MN Power Transmission Sdn Bhd dan Mutu Nusantara Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM137.8 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi pemasangan saluran masuk utama penghantaran (PMU) baharu 275 kilovolt (kV) Stesen Suis Kenyir Pencawang Penebat Gas (GIS) di Terengganu.
Kumpulan itu berkata, anugerah itu merupakan kontrak terbesar yang pernah diperoleh MN Holdings daripada TNB, mengukuhkan lagi peranan kumpulan dalam menyokong infrastruktur grid nasional Malaysia.
MN Holdings akan membekal, memasang dan mentauliahkan PMU lengkap dengan kerja-kerja kejuruteraan awam utama dan semua yang berkaitan.
Projek ini akan berlangsung selama 730 hari, dengan dijangka siap pada Mac 2027.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Dang Siong Diang berkata, pihaknya berbesar hati menerima menerima kontrak secara langsung daripada TNB dan ia akan mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor infrastruktur tenaga Malaysia.
Beliau berkata, projek itu bukan sahaja bukti keupayaan kejuruteraan kumpulan tetapi juga mencerminkan kepercayaan TNB terhadap keupayaan mereka dalam menyampaikan rumusan berkualiti tinggi memenuhi piawaian teknikal dan operasi yang ketat.
"Dengan margin rizab tenaga Semenanjung Malaysia diunjurkan kekal sihat pada 28% hingga 36% dan permintaan elektrik dijangka berkembang sebanyak 2.9% setiap tahun, dipacu oleh pengembangan ekonomi dan peningkatan pusat data, kami melihat prospek yang kukuh untuk peningkatan grid dan infrastruktur," katanya.
Digabungkan dengan inisiatif seperti program solar skala besar (LSS), Pengaturan Penghantaran Dipertingkat Baharu (NEDA) dan Tarif Elektrik Hijau (GET) 2025 yang menawarkan sehingga 6,600GWj tenaga boleh diperbaharui (RE) untuk langganan.
Perkembangan ini memberikan peluang yang jelas kepada MN Holdings bagi menyokong anjakan tenaga mampan rendah Malaysia pada masa hadapan.
Kemenangan kontrak terbaharu itu meningkatkan buku pesanan MN Holdings kepada RM977.8 juta, mencerminkan kejayaan berterusannya dalam mendapatkan projek bernilai tinggi yang meningkatkan infrastruktur tenaga Malaysia.- DagangNews.com








