MN Holdings peroleh kontrak RM216 juta bina pencawang elektrik untuk pusat data di Zon Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings peroleh kontrak RM216 juta bina pencawang elektrik untuk pusat data di Zon Selatan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac – MN Holdings Bhd memperoleh kontrak bernilai RM216 juta bagi melaksanakan kerja pembinaan pencawang elektrik untuk sebuah pusat data di wilayah selatan Semenanjung Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata kontrak tersebut diperoleh melalui anak syarikat milik penuhnya, MN Utilities Engineering Sdn. Bhd. yang menerima surat anugerah bertarikh 1 Februari 2026 daripada pelanggan yang menyediakan infrastruktur pengehosan dan pemprosesan data.

 

“Projek tersebut melibatkan pembinaan pencawang pengguna (CS) bagi menyokong operasi sebuah pusat data di kawasan berkenaan.

 

“Kontrak tersebut dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 September 2026,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagaimanapun, identiti pelanggan tidak didedahkan kerana tertakluk kepada perjanjian kerahsiaan yang dipersetujui antara kedua-dua pihak.

 

Skop kerja projek itu merangkumi reka bentuk, pembinaan, pemasangan, ujian serta pentauliahan pencawang pengguna yang dikenali sebagai CS Plot 2.

 

Kerja-kerja itu juga melibatkan penyediaan pekerja, peralatan dan bahan binaan untuk membina kemudahan tersebut di kawasan pencawang, termasuk pemasangan pagar di sekelilingnya.

 

Selain itu, kontrak berkenaan juga melibatkan kerja penyambungan kabel voltan tinggi antara tapak pencawang yang berkaitan bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke pusat data tersebut.

 

Jumlah keseluruhan kontrak dianggarkan sebanyak RM216 juta termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Menurut syarikat, penerimaan kontrak itu tidak memberi kesan kepada modal saham terbitan atau pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

Bagaimanapun, projek tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham kumpulan apabila kerja-kerja projek bermula.

 

Lembaga pengarah syarikat berpendapat penerimaan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan tidak melibatkan sebarang kepentingan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan. - DagangNews.com