MN Holdings berpotensi raih kontrak RM600 juta, pelanggan sasar muktamad tender 1QCY26 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MN Holdings berpotensi raih kontrak RM600 juta, pelanggan sasar muktamad tender 1QCY26 - Maybank IB

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mac — MN Holdings Bhd (MNH) dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk meraih kontrak baharu bernilai kira-kira RM600 juta apabila pelanggan utama sedia adanya menyasarkan untuk memuktamadkan beberapa tender secara kolektif dalam suku pertama tahun kalendar 2026 (1QCY26), menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, tender berkenaan adalah sebahagian daripada pelan pengembangan kapasiti pelanggan-pelanggan tersebut, khususnya dalam segmen pusat data yang terus berkembang pesat susulan permintaan tinggi terhadap infrastruktur digital.

 

"Berdasarkan rekod prestasi kukuh MNH dalam melaksanakan projek-projek terdahulu bersama pelanggan sama, syarikat berkenaan mempunyai kelebihan kompetitif untuk memperoleh sebahagian besar daripada kontrak yang ditawarkan.

 

“Hubungan kerja yang telah terjalin serta keupayaan teknikal yang terbukti meletakkan MNH pada posisi strategik untuk terus menjadi rakan pelaksana pilihan dalam projek pengembangan seterusnya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Maybank IB, dalam segmen pusat data, prospek tender MNH kekal kukuh dengan keterlihatan pendapatan jangka terdekat disokong oleh pelanggan utama sedia ada, dikenali sebagai Pelanggan A dan Pelanggan E.

 

Momentum itu dijangka terus dipacu oleh pelan pengembangan kapasiti dalam kalangan pengendali pusat data sedia ada, yang masih berada dalam fasa pelaksanaan projek baharu dan peluasan fasiliti.

 

"Selain itu, sebuah syarikat hyperskala utama dari Amerika Syarikat dijangka memanggil tender baharu pada suku kedua tahun kalendar 2026 (2QCY26), sekali gus membuka ruang tambahan kepada MNH untuk memperluas penglibatan dalam rantaian nilai infrastruktur pusat data berkapasiti tinggi," kata firma itu.

 

Menurut Maybank IB, setakat Disember 2025, buku tempahan tertunggak MNH berjumlah RM861.3 juta, merangkumi projek TNB (41%), pusat data (39%), pembetungan air (2%), solar (4%) dan industri lain (12%).

 

Selepas mencatat prestasi kukuh pada 2QFY26, pendapatan dijangka menyusut sedikit secara suku ke suku pada 3QFY26 berikutan beberapa projek pusat data yang hampir siap, manakala projek baharu masih di peringkat awal pengiktirafan hasil.

 

Bagaimanapun, momentum dijangka kembali meningkat dengan lebih ketara pada 4QFY26 apabila projek-projek tersebut mula menyumbang secara lebih signifikan kepada pendapatan kumpulan.

 

Aliran tender TNB semakin rancak

Momentum buku tender turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila meningkat kepada RM2.9 bilion, melonjak 185.6% suku ke suku, didorong terutamanya oleh tender TNB (49%) dan pusat data (25%).

 

Difahamkan, tender baharu TNB melibatkan projek EPCC pencawang voltan tinggi 132kV hingga 275kV serta kerja-kerja peluasan, yang sebahagiannya bertujuan menyokong pembangunan loji janakuasa gas baharu utiliti nasional itu.

 

Selain itu, MNH juga aktif meneroka peluang membida projek pencawang 500kV sebagai sebahagian daripada strategi memperkukuh rekod prestasi dalam pelaksanaan projek infrastruktur grid voltan tinggi, sekali gus memperluas keupayaan teknikal dan daya saing dalam segmen utiliti tenaga negara.

 

Dengan saluran projek yang mantap, sekali gus menyokong keterlihatan pendapatan bagi 2HFY26 dan pengisian semula projek dijangka terus dipacu oleh kerja-kerja naik taraf infrastruktur grid TNB, Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan tanpa perubahan dengan saranan BELI pada harga sasaran (TP) RM2.39, berdasarkan penilaian nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 21 kali bagi FY27E, iaitu pada paras +1 sisihan piawai daripada purata tiga tahun. - DagangNews.com