KUALA LUMPUR 21 Feb - MN Holdings Bhd berpotensi mengekalkan momentum pertumbuhan pada 2HFY25 disokong oleh buku pesanan tertunggak sebanyak RM665 juta, dengan 25% disumbangkan oleh Pelanggan A, kata Phillip Capital.
Firma penyelidikan itu positif terhadap prospek kemenangan pesanan kumpulan disokong oleh buku tender terkini RM1.2 bilion termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB)/ Sarawak Energy Bhd (74%) solar (10%) dan pusat data sebanyak 5%.
Mereka turut menyemak naik unjuran pendapatan FY25-FY27 sebanyak 4% dan 5% selepas mengambil kira margin operasi yang lebih baik daripada jangkaan.
"Kami menyukai MN sebagai proksi untuk infrastruktur kuasa Malaysia yang berkembang dan pendedahan strategik dalam sektor pusat data dan solar.
"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan beberapa risiko termasuk pelancaran projek yang lebih perlahan daripada jangkaan yang akan menjejaskan penambahan buku ppesanan dan kelewatan di luar jangkaan," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada suku kedua berakhir 31 Disember 2024 (2QFY25) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM12.6 juta berbanding RM3.9 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
Hasil melonjak 67.5% kepada RM125.5 juta berbanding RM74.9 juta, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 2.59 sen berbanding 0.94 sen.
Bagi enam bulan pertama, keuntungan bersihnya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM19.7 juta, manakala hasil melonjak 75.7% tahun ke tahun kepada RM228.6 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan positif itu adalah disumbangkan margin yang lebih baik daripada jangkaan dengan hasil 6MFY25 melonjak 76% kepada RM229 juta didorong pertumbuhan kukuh dalam segmen utiliti bawah tanah (+123% ) dan kejuruteraan pencawang (+45%).
Katanya, margin sebelum faedah, cukai, susut nilai dan margin pelunasan (EBITDA) 6MFY25 bertambah baik sebanyak 3.3ppts kepada 14.8% berikutan kemajuan kontrak pusat data yang menyediakan margin tinggi. - DagangNews.com








