KUALA LUMPUR 3 Feb - MMC Port Holdings telah mengupah CIMB dan Maybank mengusahakan tawaran awam permulaan (IPO) lebih RM6 bilion (AS$1.34 bilion) di Malaysia, kata dua sumber yang mengetahui perkara itu, lapor Reuteurs.
RHB dan UBS juga telah digunakan untuk mengusahakan IPO, kata sumber ketiga dan keempat.
IPO yang terbesar di Malaysia dalam lebih sedekad itu dijangka mencapai pasaran seawal separuh kedua tahun ini, atau pada 2026 dan berkemungkinan akan menilai Pelabuhan MMC pada lebih RM25 bilion, kata sumber itu.
Lebih banyak bank juga dijangka dibawa masuk, kata sumber pertama.
Keempat-empat sumber itu enggan dinamakan kerana perkara itu meupakan informasi peribadi.
MMC tidak membalas e-mel daripada Reuters yang meminta komen.
CIMB berkata, ia tidak "mendedahkan atau mengulas mengenai nama atau pelanggan tertentu".
Maybank dan RHB berkata mereka tidak dapat mengulas manakala, UBS tidak memberi komen.
Jika IPO itu direalisasikan, ia boleh menjadi yang terbesar di Malaysia sejak penyenaraian operator hospital swasta IHH Healthcare Bhd berjumlah AS$2.1 bilion pada 2012.
Penyenaraian yang dirancang itu bakal menambah saluran paip IPO yang semakin berkembang di Bursa Malaysia.
Jumlah nilai IPO Malaysia meningkat lebih dua kali ganda kepada AS$1.64 bilion pada 2024 daripada AS$724.3 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, menurut data LSEG.
MMC Ports ialah pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia dan merupakan unit milik penuh MMC Corp, sebuah kumpulan utiliti dan infrastruktur yang dikawal oleh taikun Malaysia Syed Mokhtar Al-Bukhary, menurut laman webnya. - DagangNews.com








