KUALA LUMPUR 29 Julai - MMC Port Holdings berhasrat memuktamadkan senarai pelabur teras seawal Ogos, menjelang penyenaraian penyenaraian awam awal (IPO) di Bursa Malaysia pada Oktober ini yang berpotensi mengumpul lebih AS$1.5 bilion, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu kepada Reuters.
IPO itu bakal menjadi yang terbesar di Malaysia sejak penyenaraian IHH Healthcare bernilai AS$2.1 bilion pada 2012 dan yang terbesar di Asia Tenggara sejak syarikat teknologi Indonesia, Bukalapak, mengumpul AS$1.5 bilion pada 2021, menurut data LSEG.
Pengendali pelabuhan terbesar di negara ini dan juga anak syarikat MMC Corp itu sedang berbincang dengan lebih daripada 20 bakal pelabur teras, kata sumber tersebut.
Pelabur teras biasanya merupakan dana institusi besar yang komited untuk membeli saham sebelum IPO dibuka kepada orang ramai.
Barisan pelabur yang kukuh dijangka meningkatkan keyakinan terhadap tawaran tersebut dan merangsang sentimen dalam pasaran IPO Malaysia, yang menurut LSEG, telah mengumpul AS$751.2 juta dalam separuh pertama tahun 2025, meningkat 17.9% berbanding tahun sebelumnya.
ARTIKEL BERKAITAN: MMC Port fail permohonan IPO melibatkan penjualan 30% saham dianggar RM8.5 bilion
Beberapa institusi domestik dan global terlibat dalam perbincangan tersebut, termasuk BlackRock, UBS Asset Management, pengurus dana terbesar Malaysia Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Sumber-sumber itu enggan dinamakan kerana maklumat tersebut adalah sulit dan perbincangan masih berlangsung.
MMC Port dan syarikat induknya tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan untuk komen yang dihantar melalui e-mel pada hari Isnin. BlackRock, PNB dan KWSP juga belum memberikan maklum balas. UBS pula enggan memberi komen.
Reuters melaporkan pada Februari lalu, IPO MMC Port berkemungkinan mengumpul lebih daripada RM6 bilion pada separuh kedua tahun 2025.
Syarikat itu, yang mengendalikan lima pelabuhan di sepanjang Selat Melaka — antara laluan perkapalan tersibuk di dunia — telah memfailkan draf prospektus kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada akhir Jun tanpa menyatakan saiz atau jangka masa IPO tersebut.
Menurut maluman yang difailkan itu, MMC Port mencatatkan penurunan 9.2% dalam keuntungan bersih bagi tahun 2024 kepada RM636.6 juta ringgit, walaupun mencatatkan peningkatan hampir 10% dalam hasil pendapatan kepada RM4.36 bilion.
Hasil daripada IPO tersebut akan diberikan kepada MMC Corp, yang merancang untuk melepaskan sehingga 30% pegangan dalam unit pelabuhannya. MMC Port tidak akan menerima sebarang dana daripada penyenaraian itu. - DagangNews.com








