KUALA LUMPUR 2 Julai - MMC Port Holdings Bhd telah memfailkan permohonan untuk penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) yang berpotensi meraih berbilion ringgit untuk jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Menurut draf prospektusnya, IPO tersebut melibatkan penjualan sehingga 30% pegangan dalam MMC Port pada harga yang akan ditentukan kemudian dan tidak melibatkan terbitan saham baharu, yang bermakna syarikat itu sendiri tidak akan menerima sebarang hasil daripada penjualan tersebut.
Syed Mokhtar mengawal MMC Port melalui MMC Corporation Bhd, sebuah syarikat milik persendirian.
“Lembaga pengarah berpendapat, pada masa syarikat tidak memerlukan pembiayaan ekuiti tambahan untuk perniagaan kami,” kata MMC Port.
IPO itu akan melibatkan tawaran kepada institusi dan juga tranche runcit. Harga akhir IPO akan bersamaan dengan harga runcit indikatif atau harga institusi yang ditetapkan.
Penjualan saham itu berpotensi meraih sekitar AS$2 bilion (RM8.5 bilion) dan disasarkan seawal September, menurut laporan Bloomberg.
Penyenaraian yang dirancang itu boleh menilai syarikat tersebut sehingga AS$7 bilion, menurut agensi berita tersebut yang memetik sumber yang tidak dinamakan.
MMC Port mengendalikan Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor di Johor, Northport di Selangor, Pelabuhan Pulau Pinang di Pulau Pinang, Pelabuhan Tanjung Bruas di Melaka dan Pelabuhan Andaman di Kedah.
Syarikat itu juga mempunyai tiga terminal kapal persiaran di negara ini.
Syarikat itu sebelum ini merupakan sebahagian daripada MMC Corp yang telah dinyahsenaraikan dalam satu proses penswastaan pada 2021, dengan penilaian melebihi RM6 bilion.
Pada 2024, MMC Port mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM636.56 juta daripada hasil pendapatan sebanyak RM4.36 bilion.
MMC Port mempunyai baki tunai dan bank berjumlah RM347.3 juta pada akhir tahun 2024, di mana aliran tunai daripada operasi melebihi RM2 bilion manakala jumlah pinjaman syarikat adalah sebanyak RM5.37 bilion.
“Lembaga pengarah percaya bahawa syarikat mempunyai modal kerja yang mencukupi untuk sekurang-kurangnya 12 bulan sehingga Jun 2026," katanya.
MMC Port akan mencari pelabur utama bagi IPO mereka. Pelabur utama — biasanya pelabur institusi besar seperti dana pencen dan syarikat insurans — komited mengambil sebahagian daripada saham IPO sebelum ia dipasarkan kepada pelabur runcit dan institusi lain.
Kehadiran mereka membantu meningkatkan keyakinan pelabur lain terhadap saham tersebut semasa IPO. MMC Port turut mempunyai opsyen lebihan langganan (overallotment option) melibatkan tambahan pegangan sebanyak 4.5% jika permintaan daripada pelabur adalah tinggi semasa IPO.
CIMB Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras global bersama, penaja jamin pengurus tunggal dan penaja jamin bersama. HSBC pula merupakan penyelaras global bersama dan penaja jamin bersama. Syarikat akan menambah penaja jamin lain kemudian - DagangNews.com








