KUALA LUMPUR 29 Jun - Kim Loong Resources Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 31.6% kepada RM55.18 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2026 (1QFY27) berbanding RM41.92 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya, didorong prestasi lebih kukuh segmen pengilangan sawit.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata peningkatan keuntungan itu disokong oleh margin pemprosesan yang lebih tinggi daripada operasi pengilangan, meskipun pengeluaran buah tandan segar (FFB) berkurangan sepanjang suku berkenaan.
Hasil kumpulan turut meningkat 9.2% kepada RM449.66 juta berbanding RM411.72 juta setahun sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) bertambah 19.7% kepada RM82.57 juta daripada RM68.98 juta.
Segmen pengilangan sawit menjadi penyumbang utama kepada prestasi kumpulan apabila keuntungan melonjak lebih dua kali ganda kepada RM47.62 juta, meningkat 119% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu disokong oleh peningkatan 19% dalam jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) serta margin pemprosesan yang lebih baik.
Bagaimanapun, segmen perladangan mencatatkan keuntungan lebih rendah sebanyak RM30.35 juta, susut 36% berbanding tahun sebelumnya berikutan pengeluaran FFB merosot 19% dalam suku semasa.
Lembaga pengarah tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku pertama berakhir 30 April 2026.
Mengulas prospek, Kim Loong berkata syarikat mengekalkan sasaran pertumbuhan sekitar 5% bagi pengeluaran FFB untuk tahun kewangan 2027, disokong oleh peningkatan produktiviti pokok yang semakin matang serta program penanaman semula yang sedang dilaksanakan.
Kumpulan turut menjangkakan harga purata CPO akan kekal dalam lingkungan RM4,000 hingga RM4,500 satu tan metrik, sekali gus dijangka terus menyokong prestasi operasinya.
"Berdasarkan jangkaan pengeluaran FFB yang lebih tinggi serta prospek harga CPO yang stabil, kumpulan menjangkakan prestasi yang memuaskan bagi keseluruhan tahun kewangan 2027," menurut syarikat. - DagangNews.com








