EPIC rekod perolehan tertinggi RM411.9 juta pada FY2025, sasar pertumbuhan 7% pada FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPIC rekod perolehan tertinggi RM411.9 juta pada FY2025, sasar pertumbuhan 7% pada FY2026

Pelabuhan Kemaman, Terengganu - Gambar EPIC
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA TERENGGANU 29 Jun — EPIC Berhad menyasarkan perolehan sebanyak RM441.3 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026), meningkat kira-kira 7% berbanding RM411.9 juta yang dicatatkan pada FY2025.

 

Sasaran itu disokong pertumbuhan berterusan dalam perniagaan teras, penambahbaikan operasi serta pelaksanaan pelan strategik syarikat.

 

Perkara  itu diumumkan pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-45 syarikat yang dipengerusikan Pengarah EPIC Berhad, Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim mewakili Menteri Besar Terengganu merangkap Pengerusi EPIC Berhad, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

Pada AGM berkenaan, semua resolusi yang dibentangkan kepada pemegang saham telah diluluskan.

 

EPIC turut membentangkan keputusan kewangan yang telah diaudit bagi FY2025 yang menyaksikan syarikat merekodkan perolehan tertinggi dalam sejarahnya sebanyak RM411.9 juta, meningkat RM8.1 juta berbanding RM403.8 juta pada FY2024, sekali gus meneruskan trajektori pertumbuhan positif sejak 2022.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi FY2025 meningkat kepada RM36.9 juta berbanding RM28.4 juta pada FY2024, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) bertambah kepada RM20.6 juta daripada RM16.6 juta setahun sebelumnya.

 

Menurut syarikat, pencapaian itu didorong pengambilalihan Rahar Niaga Sdn. Bhd. (RNSB), sumbangan kontrak baharu Penyelenggaraan, Pentauliahan dan Pengubahsuaian (MCM) serta Penyambungan dan Pentauliahan (HUC), selain peningkatan jumlah kemasukan pelantar luar pesisir dan pertambahan kendalian kargo sepanjang FY2025.

 

T

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, syarikat kekal optimis terhadap prospek FY2026 walaupun industri minyak dan gas masih berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik global yang berpanjangan.

 

Beliau berkata, prestasi FY2025 membuktikan keupayaan EPIC mengekalkan momentum pertumbuhan menerusi pelaksanaan strategi yang berdisiplin, daya tahan operasi serta pelaksanaan inisiatif strategik yang berkesan.

 

Menurutnya, kepelbagaian portfolio perniagaan Kumpulan EPIC memainkan peranan penting dalam mengimbangi kesan kitaran industri, di samping membolehkan syarikat memanfaatkan peluang pertumbuhan baharu yang muncul.

 

"Penambahbaikan berterusan dari segi kecekapan operasi dan penggunaan aset akan terus menjadi fokus utama syarikat bagi memastikan pertumbuhan yang mampan.

 

"EPIC akan terus memberi keutamaan kepada pertumbuhan secara berdisiplin berpandukan EPIC Business Strategic Plan 2025–2030 (EPIC BEST 2530) dengan memberi penekanan kepada pengukuhan perniagaan teras, peningkatan kualiti perkhidmatan serta memperkasa penawaran bernilai tambah dalam ekosistem perkhidmatan sokongan minyak dan gas bersepadu," katanya.

 

T

 

Dalam aspek kelestarian, EPIC terus memperkukuh agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai pemacu utama strategi pertumbuhan jangka panjang menerusi penerapan prinsip ESG dalam pentadbiran, perancangan perniagaan dan operasi harian.

 

Usaha itu dipandu menerusi Rangka Kerja Kelestarian syarikat dengan pemantauan Jawatankuasa Pelaburan, Risiko, Tadbir Urus dan Kelestarian Lembaga Pengarah (BIRGSC), selain memberi tumpuan kepada amalan perniagaan yang bertanggungjawab, pendedahan maklumat berkaitan kelestarian serta kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.

 

Sepanjang separuh pertama FY2026, EPIC melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian dan program libat urus industri bagi meningkatkan kesedaran ESG, menggalakkan perkongsian pengetahuan serta memperluaskan kerjasama strategik, sekali gus menyokong aspirasi mentransformasikan Pelabuhan Kemaman sebagai Pelabuhan Hijau menjelang 2035.

 

Dari aspek tanggungjawab sosial korporat (CSR), syarikat membelanjakan RM2.65 juta pada FY2025 bagi pelbagai program termasuk penajaan sukan, pembangunan komuniti, aktiviti keagamaan dan sumbangan kebajikan.

 

Bagi FY2026, EPIC meningkatkan komitmen itu menerusi peruntukan RM2.75 juta, tidak termasuk perbelanjaan bagi program libat urus bersama pihak berkepentingan, sebagai usaha menyokong pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan mampan di Terengganu serta kawasan operasinya. - DagangNews.com