SC terbitkan Garis Panduan Sukuk selaras Maqasid al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC terbitkan Garis Panduan Sukuk selaras Maqasid al-Shariah untuk Pasaran Modal Islam Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Jun - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerbitkan Garis Panduan Sukuk: Penyelarasan dengan Maqasid Al-Shariah bagi memperkukuh keselarasan penerbitan sukuk dengan prinsip Maqasid al-Shariah serta memperluaskan penilaian impak dalam ekosistem pasaran modal Islam negara.

 

SC memaklumkan, penerbitan Garis Panduan ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang menyokong pembangunan produk berteraskan etika serta pertumbuhan berterusan pasaran modal Islam Malaysia.

 

"Walaupun rangka kerja sedia ada telah memastikan pematuhan Shariah, garis panduan baharu ini bertujuan memperkukuh penilaian yang lebih holistik terhadap penerbitan sukuk.

 

"Ia berperanan memberi panduan kepada penasihat Shariah untuk mempertimbangkan penciptaan nilai yang lebih luas, termasuk keselarasan dengan objektif strategik penerbit serta hasil ekonomi dan sosial," kata suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini.

 

SC berkata, dokumen itu turut memperincikan skop, pemakaian serta pertimbangan utama dalam mengaplikasikan Maqasid Al-Shariah Guidance Islamic Capital Market Malaysia dalam ekosistem sukuk, termasuk peranan penasihat Shariah dan penerbit sukuk.

 

Garis panduan berkenaan turut menyediakan satu set indikator ilustratif dan soalan panduan merangkumi enam aspirasi utama serta 15 prinsip asas Maqasid. Ia meliputi aspek penggunaan dana terbitan, struktur sukuk, tadbir urus, pendedahan maklumat serta keterangkuman.


 

solar

 


Contoh praktikal penerbitan sukuk

Selain itu, SC turut menyertakan contoh praktikal penerbitan sukuk bagi menunjukkan bagaimana keselarasan dengan Maqasid al-Shariah boleh dinilai dan dihuraikan dalam amalan sebenar pasaran.

 

Menurut SC, penasihat Shariah dan penerbit sukuk digalakkan untuk menyepadukan pertimbangan Maqasid dalam struktur sukuk, penggunaan hasil terbitan serta pendedahan berkaitan, di samping terus mematuhi semua keperluan Shariah yang berkuat kuasa termasuk resolusi Majlis Penasihat Shariah SC serta garis panduan berkaitan.

 

Layari https://www.sc.com.my/regulation/guidance-notes-and-guiding-principles untuk maklumat lanjut mengenai Garis Panduan tersebut di laman rasmi SC. - DagangNews.com