Global Turbine Asia meterai tiga kerjasama strategik, bangunkan bakat aeroangkasa tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Global Turbine Asia meterai tiga kerjasama strategik, bangunkan bakat aeroangkasa tempatan

(DARI kiri) Pengarah GTA, Zain Puteh bergambar dengan Ketua Jabatan Inovasi Perniagaan dan Pengurusan Fasiliti GTA, Mahathir Azmi; Koordinator Latihan Amrace, Nik Nadia Athirah Nik Azhari, dan Muhammad Izzuddin Abd Rahim.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 JunGlobal Turbine Asia Sdn Bhd (GTA) memperkukuhkan kedudukannya dalam industri aeroangkasa negara menerusi pemeteraian kerjasama strategik secara serentak dengan tiga pihak.

 

Menurut kenyataan syarikat itu, langkah ini bukan sahaja memfokuskan pembangunan bakat masa depan, malah membuka laluan baharu kepada veteran tentera menyertai sektor aeroangkasa dan teknikal.

 

Penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih enjin (MRO) itu memeterai kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), AMRACE Sdn Bhd dan PT3 Consultant Sdn Bhd.

 

"Kerjasama ini bagi memenuhi keperluan berbeza ekosistem aeroangkasa Malaysia, meliputi pendidikan akademik, latihan berstruktur, peningkatan kemahiran dan kesediaan tenaga kerja," jelas GTA.

 

GTA_DagangNews2026
(DARI kiri) Pengarah GTA, Zain Puteh bergambar dengan Ketua Jabatan Inovasi Perniagaan dan Pengurusan Fasiliti GTA, Mahathir Azmi; Ketua Pegawai Eksekutif PT3, Mohammed Fadzli Ismail, dan Ketua Kampus PT3, Farizal Ismardi Ibrahim.

 

Kata kumpulan itu, UTeM memainkan peranan dalam menyokong laluan pendidikan dan akademik, manakala AMRACE serta PT3 akan bertindak sebagai rakan latihan semula dan pembangunan keupayaan pekerja.

 

Secara keseluruhan, kerjasama ini mencerminkan komitmen pembinaan asas kukuh pertumbuhan jangka panjang dengan menghubungkan pemain industri, akademik, penyedia latihan dan bakat masa depan.

 

Melalui memorandum persefahaman (MoU) dengan AMRACE, GTA bekerjasama mewujudkan laluan berstruktur bagi membantu veteran Malaysia beralih ke sektor pekerjaan awam menerusi program latihan 14 minggu.

 

"Di bawah kerjasama itu, kami menyokong penyumberan calon, penglibatan majikan dan penyelarasan penempatan pekerjaan, manakala AMRACE menerajui aspek latihan, penilaian dan pensijilan," ujarnya.

 

GTA
(DARI kiri) Dekan RFakulti Industri dan Teknologi Kejuruteraan Utem, Prof Ir Dr Mohd Asyadi Azam Mohd Abid bergambar dengan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Utem, Prof Dr Zahriladha Zakaria; wakil National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO Malaysia), Dr Nor Khalid dan Ketua Jabatan Inovasi Perniagaan dan Pengurusan Fasiliti GTA, Mahathir Azmi.

 

Sementara itu, MoU bersama PT3 memperkukuh penyampaian latihan, kesediaan pekerja serta pembangunan kecekapan teknikal, termasuk pelaksanaan berstruktur, perantisan dan pembelajaran berasaskan kerja.

 

Dalam pada itu, menerusi surat niat dimeterai dengan UTeM, GTA menyediakan maklum balas industri bagi pembangunan program Sarjana Muda Teknologi dalam Pemesinan Industri (Pembuatan Aeroangkasa).

 

Pengerusi Eksekutif GTA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, industri bergantung kekuatan modal insan, kemahiran dan kepercayaan, bagi memperkukuh ekosistem bakat serta keupayaan teknikal negara.

 

"Inisiatif ini juga selaras dengan usaha GTA Holdings Berhad yang baru menerima kelulusan Bursa Malaysia Securities Berhad bagi cadangan penyenaraian kumpulan itu di Pasaran ACE," kata beliau.

 

Perkembangan itu mencerminkan komitmen kumpulan untuk menyokong pembangunan bakat aeroangkasa yang lebih mampan dan memperkukuh rantaian nilai sokongan penerbangan negara. - DagangNews.com