KUALA LUMPUR 29 Jun — Hartanah Kenyalang Berhad mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM44.44 juta bagi suku kedua berakhir 30 April 2026 (2QFY26), iaitu lonjakan 47.7% berbanding rekod sebelumnya.
Menurut makluman kumpulan itu kepada Bursa Malaysia, perkembangan positif tersebut didorong oleh sumbangan daripada kontrak projek naik taraf Stadium Sarawak di Kuching bernilai RM184.32 juta.
Peningkatan pendapatan yang ketara ini turut melonjakkan keuntungan bersih kepada RM2.04 juta bagi suku tersebut, berbanding hanya sebanyak RM1.34 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
"Projek stadium ini mempunyai tempoh pembinaan selama setahun bermula Januari 2026, dan kumpulan merancang penerbitan dana baharu bagi menyokong keperluan modal baharu," jelas Hartanah Kenyalang.
Walaupun syarikat berdepan dengan kos kakitangan serta yuran guaman dan profesional yang lebih tinggi, keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku dikaji tetap meningkat 37.8% kepada RM2.74 juta.
Bagi tempoh terkumpul enam bulan (1HFY26), hasil kumpulan tersebut namun mencatatkan sedikit penurunan kepada kira-kira RM68.3 juta berbanding sebanyak RM74.9 juta pada tahun lalu.

Keadaan ini tambah Hartanah Kenyalang disebabkan penyiapan beberapa projek utama termasuk projek sekolah daif di Tambay dan Tebedu, Sekolah Antarabangsa Yayasan Sibu, dan Jambatan Sungai Padas.
"Melangkah ke hadapan, Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan terhadap prospek syarikat memandangkan fokus Sarawak terhadap infrastruktur air dan tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya lagi.
Syarikat berkenaan juga kini sedang memperluaskan operasinya ke Semenanjung Malaysia melalui anak syarikat HKSB yang sudah memperoleh projek pembinaan sebuah kilang setinggi empat tingkat.
Baru-baru ini, Hartanah Kenyalang melengkapkan penempatan saham persendirian yang menyaksikan kemunculan Solarvest Holdings Berhad sebagai pemegang saham besar syarikat tersebut.
Selain itu, kumpulan berkenaan juga telah berjaya memperoleh projek 'reka dan bina' yang pertamanya untuk pembinaan kompleks penjara baharu di Sibu. - DagangNews.com








