KUALA LUMPUR 4 Nov – MMAG Holdings Bhd — yang mempunyai lebih 10% pegangan gabungan oleh dua syarikat tersenarai — mendakwa tidak tahu menahu punca aktiviti pasaran luar biasa (UMA) melibatkan sahamnya selepas jatuh ke had bawah pada Isnin, membawa kaunter itu ke paras terendah dalam tempoh 19 bulan.
Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, MMAG turut mengumumkan peletakan jawatan pengarah eksekutif Chin Boon Long, lapan bulan selepas isterinya, Chan Swee Ying, berhenti menjadi pemegang saham utama.
Susulan peletakan jawatan Chin, yang memegang jawatan pengarah eksekutif selama setahun sembilan bulan, MMAG melantik Datuk Kevin Jit Singh Ragbir Singh ke jawatan tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Saham kumpulan itu, yang telah meningkat sehingga 75% tahun ini dan lebih 800% dalam tempoh dua tahun lalu, menerima pertanyaan UMA daripada Bursa Malaysia selepas harga sahamnya jatuh sebanyak 30 sen kepada 16 sen sesaham.
Kaunter itu ditutup pada harga 18.5 sen, masih susut sebanyak 27.5 sen. Jumlah dagangan bagi saham keempat paling aktif di Bursa Malaysia pada hari tersebut melonjak kepada 65.82 juta unit — paras tertinggi sejak Mei tahun lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bursa Malaysia siasat aktiviti luar biasa saham MMAG, dagangan jatuh lebih 43 peratus
Pemegang saham besar MMAG
Bekas ahli politik Datuk Farhash Walfa Salvador merupakan pemegang saham terbesar MMAG dengan pegangan sebanyak 19.9% melalui Velocity Capital Sdn Bhd yang diperoleh pada bulan Mac lalu, bulan yang sama NexG Bhd membeli pegangan 9.47%.
Pada Julai, Globetronics Technology Bhd pula memperoleh kira-kira 24.8 juta saham atau sedikit lebih 1% dalam syarikat itu.
Swee Ying, yang turut menjual 175 juta saham MMAG pada bulan Mac, masih memegang 107.36 juta saham atau 4.62% pegangan pada waktu itu.
Pasaran Saham
Pada Isnin, sebanyak 3.38 juta saham MMAG berpindah tangan di pasaran luar (off-market) pada harga 18.5 sen dalam tempoh sepuluh minit terakhir dagangan, menurut semakan di Bloomberg.
Terdahulu pada 4.09 petang, satu blok lain melibatkan 6.35 juta saham turut dijual di pasaran luar melalui dagangan langsung pada harga 39.5 sen sesaham atau RM2.51 juta.
Pada harga terakhir itu, MMAG memiliki permodalan pasaran sebanyak RM429.4 juta berdasarkan jumlah saham terbitan sebanyak 2.32 bilion unit.
Dalam perkembangan berasingan, NexG turut mencatatkan 150 juta saham didagangkan di pasaran luar pada harga 40 sen sesaham atau bernilai RM60.14 juta pada 4.01 petang.
Kaunter tersebut turut jatuh dalam dua jam terakhir dagangan, ditutup pada harga 35 sen atau susut 7.89%, menjadikannya bernilai pasaran kira-kira RM1.3 bilion.
Pada Februari tahun ini, MMAG telah mempelbagaikan perniagaan logistiknya kepada segmen perkhidmatan penerbangan melalui pemerolehan pesawat kargo bagi menyokong usaha perniagaan kargo komersialnya.
Sementara itu, NexG tahun ini memenangi empat kontrak berkaitan kerajaan, termasuk bagi pembekalan pasport Malaysia, kad pengenalan dan kad pekerja asing kepada jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri. - DagangNews.com








