KUALA LUMPUR 3 Nov – Bursa Malaysia Securities Bhd hari ini mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa kepada MMAG Holdings Bhd berikutan kejatuhan mendadak harga saham syarikat itu dalam dagangan baru-baru ini.
Bursa meminta MMAG menjelaskan sama ada terdapat sebarang perkembangan korporat yang belum didedahkan, khabar angin atau penjelasan lain yang mungkin menyebabkan aktiviti dagangan luar biasa tersebut.
Syarikat itu juga diminta mengesahkan pematuhan terhadap keperluan pendedahan maklumat di bawah peraturan pasaran.
Dalam satu pengumuman berasingan, Bursa Malaysia turut menggantung aktiviti jualan pendek dalam hari (IDSS) bagi saham MMAG selepas harga terakhirnya jatuh lebih daripada 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.
Menurut Bursa, aktiviti jualan pendek IDSS bagi saham MMAG hanya akan diaktifkan semula pada hari dagangan berikutnya, 4 November 2025, jam 8.30 pagi.
Sehingga waktu rehat tengah hari, saham MMAG merosot 20 sen atau 43.48 peratus kepada 26 sen dengan sebanyak 20.66 juta unit saham diniagakan. - BERNAMA








