KUALA LUMPUR 7 Mac - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa perubahan segera dalam sektor penjagaan kesihatan swasta untuk menangani isu-isu kritikal yang mempengaruhi pakar perubatan dan doktor am, kelestarian kemudahan penjagaan kesihatan swasta, kos, serta ekosistem keseluruhan.
Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, peningkatan kos rawatan banyak dipengaruhi oleh perkhidmatan hospital dan bekalan perubatan, bukannya yuran profesional doktor.
"Pakar perubatan swasta masih berdepan tekanan untuk mengurangkan caj yang dikenakan, yang secara langsung atau tidak boleh memberi kesan kepada kualiti dan kelestarian perkhidmatan rawatan pakar di sektor swasta.
"Selain itu, terdapat jurang dalam perlindungan insurans kesihatan swasta, di mana banyak polisi tidak meliputi rawatan moden dan terkini seperti imunoterapi dan terapi sasaran," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, akibat daripada itu, pesakit tidak melengkapkan rawatan di hospital swasta dan terpaksa ke hospital kerajaan disebabkan oleh had kewangan dan sekatan, yang mengganggu kesinambungan penjagaan kesihatan.
Menurut Dr Kalwinder, satu lagi isu penting yang perlu ditangani adalah peranan pentadbir pihak ketiga (TPA), yang masih tidak diberi perhatian walaupun menjadi penyumbang utama kepada peningkatan kos dalam penjagaan kesihatan swasta.
"TPA iaitu orang tengah yang menyediakan perkhidmatan penjagaan terkawal, menentukan harga rawatan melibatkan pembayaran dan mengenakan beban pentadbiran yang tidak perlu, yang akhirnya meningkatkan kos bagi doktor dan pesakit.
"MMA telah menggesa campur tangan Bank Negara Malaysia serta Kementerian Kesihatan dalam mengawal selia TPA," ujarnya.
Selain itu, Dr Kalwinder berkata, kelewatan dalam memproses tuntutan dan syarat pra-kebenaran yang berlebihan oleh syarikat insurans, terus menyekat akses pesakit kepada rawatan yang sepatutnya diterima lebih cepat, terutamanya untuk penyakit kritikal.
Beliau menambah, sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) sering diketengahkan sebagai penyelesaian kepada peningkatan kos dan peningkatan premium insurans yang dihasilkannya juga perlu diperhatikan dengan lebih teliti.
"MMA telah mengkaji hasil dan cabaran yang dihadapi oleh banyak negara yang telah melaksanakan DRG dan menyimpulkan, jika ia tidak dikaji dengan teliti dan dilaksanakan dengan betul, ia akan gagal.
"Sistem DRG telah dilaksanakan di negara-negara yang mempunyai skim insurans kesihatan negara dan ia dilaksanakan secara berperingkat di sana," jelasnya.
Menurut Dr. Kalwinder, penting bagi Malaysia untuk mempelajari bagaimana negara-negara tersebut melaksanakan sistem DRG supaya negara dapat menentukan cara yang paling sesuai untuk melaksanakannya. - DagangNews.com








