MKH nafi dagangan luar biasa di Bursa Malaysia ada kaitan urus niaga korporat tertentu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MKH nafi dagangan luar biasa di Bursa Malaysia ada kaitan urus niaga korporat tertentu

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 MeiMKH Berhad menafikan laporan media mengenai kononnya ada urus niaga korporat tertentu selepas sahamnya mencatat kenaikan harga dan volum dagangan luar biasa baru-baru ini.


Sehubungan itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia tegas menyangkal penulisan portal The Edge pada 18 Mei 2026 berhubung kemungkinan kumpulan tersebut melaksanakan langkah korporat yang baharu.


Bagaimanapun, syarikat tersebut mengesahkan pemegang saham utamanya, Chen Choy & Sons Realty Sdn Bhd (CCSR), sememangnya dari semasa ke semasa mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak luar.

 

 

 

 



Menurut MKH lagi, setakat tarikh pengumuman tersebut dibuat, tiada sebarang jaminan yang aktiviti perbincangan tersebut akan membawa kepada apa-apa perjanjian muktamad atau transaksi korporat.



“Justeru, kami mengesahkan yang tiada kepastian mengenai perbincangan berkenaan akan menghasilkan sebarang transaksi atau terma akhir yang dipersetujui kemudian,” kata kenyataan kumpulan itu lagi.


Makluman ini sebagai respons kepada pertanyaan rasmi Bursa Malaysia berhubung aktiviti dagangan luar biasa (UMA) membabitkan saham syarikat itu susulan kenaikan mendadak harga dan volum dagangan.


Bursa berkenaan pada 15 Mei 2026 meminta MKH menjelaskan sama ada terdapat pembangunan korporat, khabar angin pasaran atau faktor lain yang boleh menjelaskan aktiviti dagangan luar biasa tersebut.


Pada masa sama, kumpulan berkenaan menegaskan yang operasi perniagaan syarikat masih lagi berjalan seperti biasa dan tiada sebarang perubahan material terhadap apa-apa aktiviti operasinya ketika ini.

 

 

 

 

 

 



Syarikat tersebut turut memaklumkan yang ia memberi jaminan terus kekal sentiasa mematuhi segala keperluan pendedahan segera di bawah perkara Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia.


“Sekiranya terdapat perkembangan material berkaitan dengan perkara ini, syarikat akan segera membuat pengumuman sewajarnya mengikut keperluan penyenaraian Bursa Malaysia,” kata MKH. - DagangNews.com